Ucapan Pengerusi KOPUTRA Sempena Awal Muharram 1443H 2021
Ucapan Pengerusi KOPUTRA Sempena Sambutan Maal Hijrah 1443H
Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti
Sambutan Maal Hijrah yang diraikan pada setiap tahun mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan mempunyai makna yang berbeza bagi setiap individu. Setiap insan menjalani kehidupan seharian dengan menghadapi cabaran dan perjuangan yang berbeza. Lazimnya, bermula tahun baru, akan mencetuskan semangat dan azam baru dalam jiwa setiap insan. Erti penghijrahan dalam sambutan ini mempunyai makna yang sangat mendalam. Penghijrahan ini bukan hanya sekadar mengenang perpindahan Nabi dan para sahabat dari Mekah ke Madinah, meninggalkan rumah dan kampung halaman, serta harta yang mereka miliki, tetapi kebesaran jiwa dan keutuhan iman yang tersemat dalam diri, sehingga melahirkan pengorbanan yang luar biasa seperti itu. Pengorbanan adalah elemen terpenting dalam suatu penghijrahan. Sebagai manusia, seseorang itu sudah pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, dosa, dan maksiat. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.
Riwayat Ibn Majah (4392)
Perkara yang dituntut dalam ajaran Islam adalah untuk sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik. Untuk kita berhijrah ke arah yang lebih baik, dari sudut rohani dan jasmani, kita perlu mengorbankan sesuatu. Sesuatu yang perlu kita tinggalkan, meski sangat berat dan menuntut tekad serta kesungguhan yang jitu, tetapi pengorbanan itu adalah untuk Allah dan mengharapkan redhaNya semata-mata. Akhirnya, setiap kesusahan dalam pergorbanan yang dibuat, Allah menghadiahkan pahala dan rahmatNya dalam hidup kita.
۞ وَسَارِعُوْٓا اِلٰى مَغْفِرَةٍ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالْاَرْضُۙ اُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَۙ.
Maksudnya: Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (3:133)
Marilah kita bersama-sama memaknai tema Maal Hijrah 1443H “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti” ini dengan kembali pada Allah dan menghambakan diri dalam setiap sudut kehidupan kita untuk Allah.