PERBINCANGAN KERJASAMA STRATEGIK PERNIAGAAN EMAS KOPUTRA DAN KBSE BULLION SDN. BHD. (MEEM GOLD)
Wisma KOPUTRA 2, 21 Januari 2026 - Pihak KBSE Bullion Sdn. Bhd. yang dikenali dengan jenama Meem Gold telah mengadakan satu sesi diskusi kerjasama bersama KOPUTRA bertempat di Wisma KOPUTRA 2, Balakong. Sesi ini diadakan bagi meneroka potensi kerjasama strategik dalam industri emas dan Ar-Rahnu yang berlandaskan prinsip patuh Syariah.
KOPUTRA diwakili oleh En. Faiz, En. Akmal dan Cik Fatin daripada Jabatan Ar-Rahnu Dan Emas, manakala Meem Gold diwakili oleh En. Zhafri, Cik Madihah dan Cik Ilyana. Perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama melibatkan pembangunan sistem e-lelong Ar-Rahnu, perkhidmatan gadaian Ar-Rahnu serta penganjuran kelas dan sesi perkongsian ilmu berkaitan Ar-Rahnu dan emas kepada pelanggan Meem Gold.
Mesyuarat dimulakan dengan pengenalan mengenai KBSE Bullion Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat kepada KBSE Technology Berhad. Pada masa ini, Meem Gold mengendalikan enam cawangan di seluruh negara iaitu dua di Selangor, tiga di kawasan Utara dan satu di Johor, serta merancang pembukaan tiga lagi cawangan baharu di Perak, Pahang dan Kelantan pada tahun 2026.
Seterusnya, En. Faiz telah membentangkan pengenalan mengenai KOPUTRA serta perniagaan utama yang dijalankan seperti Ar-Rahnu, Kelana Emas, Buku Simpanan Kelana Emas (BSKE) dan Gold Bar. Beliau turut berkongsi maklumat berkenaan Arahan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu 2025) yang menekankan keperluan penggunaan pelelong berlesen serta kelebihan pelaksanaan Sistem E-Lelong, yang kini mendapat minat daripada pelbagai institusi koperasi dan perbankan.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh peluang penerimaan produk perak dalam Ar-Rahnu, di mana KOPUTRA memaklumkan bahawa kajian dan penambahbaikan sistem sedang dijalankan, dengan pelaksanaan awal melalui kaedah buyback perak. Pihak Meem Gold juga mengalu-alukan kerjasama dalam penganjuran sesi perkongsian ilmu kepada pelanggan mereka. Sesi diskusi diakhiri dengan lawatan ke cawangan Ar-Rahnu dan Kelana Emas KOPUTRA serta pertukaran cenderahati sebagai simbol persahabatan, dengan harapan kerjasama ini dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi Muslim di Malaysia.




