KUNJUNGAN HORMAT WAKIL AKADEMI KENEGARAAN MALAYSIA, JABATAN PERDANA MENTERI KE KOPUTRA
20 Januari 2026 | Wisma KOPUTRA 1
Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri pada 20 Januari 2026 bertempat di Wisma KOPUTRA 1. Kunjungan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan strategik serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang pembangunan kepimpinan, latihan dan pengurusan modal insan.
Delegasi AKM terdiri dari Raja Ismail, Encik Syazul dan Encik Mohd Hishafuddin telah disambut mesra oleh pihak pengurusan KOPUTRA yang diwakili oleh Encik Ardley, Encik Marhalim dan Encik Halimi. Sesi pertemuan dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan pengenalan ringkas mengenai latar belakang, fungsi serta peranan kedua-dua organisasi. Pihak KOPUTRA turut berkongsi pengalaman dan pencapaian organisasi khususnya dalam pengurusan koperasi, tadbir urus serta pembangunan bakat.
Sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan, antaranya dalam penganjuran program latihan yang dapat memberi manfaat bersama. Kunjungan ini juga membuka ruang kepada perbincangan lanjut berkaitan inisiatif kolaboratif pada masa hadapan. KOPUTRA adalah Koperasi pertama yang dikunjungi oleh AKM.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai simbol hubungan baik dan komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan jalinan kerjasama yang lebih erat. KOPUTRA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia atas kesudian mengadakan kunjungan ini dan berharap agar hubungan strategik yang terjalin dapat diperkukuhkan demi pembangunan organisasi dan negara.


