KOPUTRA DAN TOYIBPAY RANGKA KONSORTIUM DIGITAL BAGI MEMPERKUKUH INDUSTRI EMAS BUMIPUTERA MALAYSIA
Hotel Tanera, 27 Januari 2026 — Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) telah mengadakan pertemuan kali kedua bersama Syarikat ToyyibPay bagi membincangkan cadangan hala tuju kerjasama strategik dalam pendigitalan perniagaan Ar-Rahnu dan industri emas, khususnya melibatkan pemain-pemain emas sektor Koperasi Dan Syarikat Bumiputera di Malaysia.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Pengarah ToyyibPay, En. Ahmad Shahril, bersama Tuan Haji Nazri selaku Penasihat dan En. Zalmi sebagai Konsultan ToyyibPay. KOPUTRA pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KOPUTRA, En. Amran, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) KOPUTRA, En. Ardley, Ketua Jabatan Ar-Rahnu & Emas, En. Faiz serta Eksekutif Kanan Ar-Rahnu & Emas, En. Farid.
Objektif utama perbincangan adalah untuk merangka strategi tindakan yang boleh diterjemahkan secara praktikal oleh kedua-dua pihak dalam usaha membentuk satu konsortium strategik melibatkan pemain industri emas Bumiputera. Konsortium ini bertujuan mewujudkan satu kesatuan yang mampu menjaga kepentingan serta memperkukuh ekosistem industri emas Bumiputera secara mampan dan berdaya saing.
Dalam kerangka kerjasama tersebut, KOPUTRA akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran luasnya dalam industri emas untuk menghimpunkan rakan strategik Bumiputera yang berpotensi, manakala ToyyibPay akan berperanan sebagai penyedia platform pendigitalan bagi menyokong transformasi digital industri emas. Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan industri emas Bumiputera bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini secara pantas, selamat dan patuh Syariah.
Sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan, idea serta pengalaman masing-masing, termasuk pembentangan amalan terbaik (best practices) oleh ToyyibPay dalam pelaksanaan sistem pembayaran digital. Perbincangan diakhiri dengan sesi jamuan makan tengah hari sebagai tanda hubungan kerjasama yang semakin kukuh antara KOPUTRA dan ToyyibPay.



