top of page

KOPUTRA KONGSI POTENSI PERNIAGAAN AR-RAHNU DAN EMAS BERSAMA KOPERASI-KOPERASI DI NEGERI SEMBILAN

Seremban, 21 Januari 2026 – Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia BERHAD (KOPUTRA) telah dijemput oleh Jabatan Perhubungan ANGKASA Negeri Sembilan untuk menyampaikan taklimat serta berkongsi pengalaman berkenaan potensi perniagaan Ar-Rahnu dan emas dalam satu program yang berlangsung di pejabat ANGKASA Negeri Sembilan.

Program ini telah dihadiri oleh wakil daripada 14 buah koperasi di seluruh Negeri Sembilan yang berminat untuk meneroka dan memperkembangkan perniagaan Ar-Rahnu sebagai salah satu sumber pendapatan koperasi.

Pengurusan Jabatan Ar-Rahnu dan Emas (JADE) KOPUTRA telah diwakili oleh En. Mohd Faiz, En. Ahmed Akmal dan Cik Fatin yang hadir bagi menyampaikan perkongsian dan taklimat berkaitan.

 

Majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Puan Hajah Noorizan Abd Latif selaku Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan. Dalam ucapannya, beliau memuji keupayaan KOPUTRA yang berjaya membuka beberapa cawangan Ar-Rahnu dalam tempoh masa yang singkat serta kejayaan mengembangkan operasi sehingga ke Senawang. Beliau turut merakamkan penghargaan atas kesediaan KOPUTRA untuk berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan Ar-Rahnu bersama koperasi-koperasi di Negeri Sembilan. Menurut beliau, pada masa ini hanya segelintir koperasi di negeri tersebut yang menjalankan perniagaan Ar-Rahnu, antaranya Koperasi Kakitangan Kerajaan Negeri Sembilan Berhad (KOMBEKS).

Selepas sesi perasmian, program diteruskan dengan pembentangan mengenai pengenalan KOPUTRA dan potensi perniagaan Ar-Rahnu yang disampaikan oleh En. Mohd Faiz. Pembentangan tersebut merangkumi model perniagaan, peluang pasaran serta impak Ar-Rahnu terhadap kelestarian kewangan koperasi.

Seterusnya, En. Ahmed Akmal menyampaikan taklimat berkaitan proses dan langkah-langkah pendaftaran, permohonan pembukaan cawangan Ar-Rahnu serta dokumentasi yang diperlukan bagi memulakan operasi perniagaan tersebut.

Program berakhir sekitar jam 1.00 tengah hari dan diharapkan perkongsian ini dapat memberi pendedahan serta galakan kepada lebih banyak koperasi di Negeri Sembilan untuk meneroka perniagaan Ar-Rahnu secara tersusun dan berdaya maju.

Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad

Wisma KOPUTRA, No. 43-A & 43-B
Jalan Sungai Besi Indah 1/19, Taman Sungai Besi Indah,
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.

Tel :   03-89419770
Fax :  03-89392079

Email : admin@koputra.com.my

bottom of page