top of page

MESYUARAT AGUNG KAWASAN (MAK) KOPUTRA 2026 ZON SELATAN

​​

Johor Bahru , 11 April 2026 – Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) Zon Selatan yang berlangsung di Fives Hotel, Johor Bahru. Program ini diadakan selaras dengan keperluan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang mewajibkan setiap koperasi mengadakan mesyuarat agung kawasan setiap tahun.

Majlis ini telah berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran anggota yang terdiri daripada kakitangan Bank Muamalat, CIMB, warga kerja KOPUTRA, pesara bank serta ahli keluarga anggota. Penganjuran MAK ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan sesama anggota di samping membincangkan hala tuju strategik koperasi ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi KOPUTRA, Tuan Haji Zaharuddin bin Alias. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur serta penghargaan atas komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh anggota dan warga kerja KOPUTRA. Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan KOPUTRA adalah hasil daripada kerjasama, kepercayaan dan sokongan padu semua pihak dalam memacu kecemerlangan koperasi.

Dari segi prestasi, KOPUTRA terus mengekalkan kedudukannya sebagai koperasi besar dengan mencatatkan pendapatan melebihi RM31 juta bagi tahun 2025, satu pencapaian yang amat memberangsangkan. Selain itu, koperasi turut menyasarkan keuntungan melebihi RM1 juta bagi tahun yang sama. Kejayaan ini mencerminkan kecekapan pengurusan serta keberkesanan strategi perniagaan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

KOPUTRA juga memainkan peranan signifikan dalam pembangunan sosioekonomi dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih daripada 700 tenaga kerja. Sepanjang mesyuarat berlangsung, pelbagai cadangan dan pandangan konstruktif telah dikemukakan oleh para anggota, merangkumi aspek pengurusan, inovasi perniagaan serta penerokaan sektor baharu bagi memastikan koperasi terus relevan dan progresif.

Program ini turut diserikan dengan penyampaian penghargaan kepada anggota serta penyaluran dana kebajikan dan khairat kematian sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan ahli. Bagi kehadiran anggota ke MAK Zon Selatan telah mencatatkan kehadiran seramai 29 orang.

Secara keseluruhannya, penganjuran MAK KOPUTRA 2026 Zon Selatan bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya, malah menjadi pemangkin kepada transformasi berterusan koperasi sebagai sebuah organisasi yang unggul, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh anggotanya. Dengan semangat kebersamaan dan iltizam yang tinggi, KOPUTRA diyakini akan terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad

Wisma KOPUTRA, No. 43-A & 43-B
Jalan Sungai Besi Indah 1/19, Taman Sungai Besi Indah,
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.

Tel :   03-89419770
Fax :  03-89392079

Email : admin@koputra.com.my

bottom of page