top of page

MESYUARAT AGUNG KAWASAN KOPUTRA 2026 ZON WILAYAH PERSEKUTUAN DAN ZON TENGAH

​​

Cheras, 4 April 2026 — Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) KOPUTRA 2026 bagi Zon Wilayah Persekutuan dan Zon Tengah telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh semangat di Dewan Setia Kasih, Bandar Tun Hussein Onn. Program tahunan ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara anggota serta membincangkan hala tuju strategik koperasi ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi KOPUTRA, Tuan Haji Zaharuddin Alias yang menzahirkan rasa syukur serta penghargaan atas komitmen berterusan para anggota dan warga kerja koperasi. Beliau menegaskan bahawa kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil daripada kerjasama erat, kepercayaan serta sokongan padu semua pihak dalam memartabatkan KOPUTRA.

Dari sudut prestasi, KOPUTRA terus mengekalkan kedudukannya sebagai koperasi kluster besar dengan pencapaian membanggakan apabila merekodkan pendapatan melebihi RM31 juta bagi tahun 2025. Kejayaan ini mencerminkan kecekapan pengurusan serta keberkesanan strategi perniagaan yang dilaksanakan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, di samping komitmen berterusan untuk memberikan nilai terbaik kepada anggota.

Selain itu, KOPUTRA turut memainkan peranan signifikan dalam pembangunan sosioekonomi dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih daripada 700 tenaga kerja. Sepanjang mesyuarat berlangsung, pelbagai cadangan dan pandangan konstruktif telah dikemukakan oleh para perwakilan, merangkumi aspek pengurusan, inovasi perniagaan serta penerokaan sektor baharu bagi memastikan koperasi kekal relevan dan progresif.

Program ini juga diserikan dengan penyampaian penghargaan kepada anggota serta penyaluran dana kebajikan dan khairat kematian sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan ahli. Dalam masa yang sama, jualan sempena Promosi MAK Zon Wilayah dan Tengah mencatatkan prestasi memberangsangkan, termasuk jualan Kelana Emas sebanyak RM12,951.38, Goldbar RM3,376.00 serta BSKE RM2,820.00. Selain itu, jumlah pembiayaan kepada anggota mencatatkan nilai keseluruhan RM464,042.29 merangkumi pembiayaan peribadi dan barangan, di samping sumbangan daripada takaful kenderaan dan wasiat berjumlah RM1,460.00 serta pertambahan dua anggota baharu.

Secara keseluruhannya, penganjuran MAK KOPUTRA 2026 Zon Wilayah Persekutuan dan Zon Tengah bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya, malah menjadi pemangkin kepada transformasi berterusan koperasi ini sebagai sebuah organisasi yang unggul, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada seluruh anggotanya. Dengan semangat kebersamaan dan iltizam yang tinggi, KOPUTRA diyakini akan terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad

Wisma KOPUTRA, No. 43-A & 43-B
Jalan Sungai Besi Indah 1/19, Taman Sungai Besi Indah,
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.

Tel :   03-89419770
Fax :  03-89392079

Email : admin@koputra.com.my

bottom of page