LAWATAN PENANDA ARAS KOPUTRA KE KOPERASI SAHABAT AMANAH IKHTIAR MALAYSIA BERHAD (KOOP-SAHABAT)
Kuala Lumpur, 15 Julai 2026 – Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP-SAHABAT), sebuah Koperasi Premier di Malaysia, bagi menimba pengalaman serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan dan tadbir urus koperasi.
Delegasi KOPUTRA diketuai oleh Encik Amran Mat Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif KOPUTRA, bersama wakil Jabatan Modal Insan & Pentadbiran serta Jabatan Sekretariat & Syariah. Delegasi telah disambut oleh Tuan Haji Mazri bin Mahmood, Group Chief Executive Officer (Group CEO) KOOP-SAHABAT, bersama barisan Pengurusan Kanan dan wakil Jabatan Sumber Manusia KOOP-SAHABAT.
Sepanjang lawatan, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam pengurusan modal insan, tadbir urus, pembangunan organisasi dan pengurusan operasi koperasi. Turut dibincangkan ialah pengurusan hal ehwal sekretariat, termasuk pelaksanaan Mesyuarat Agung Kawasan (MAK) dan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) sebagai usaha memperkukuhkan tadbir urus dan keberkesanan pengurusan mesyuarat.
KOPUTRA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KOOP-SAHABAT atas kesudian menerima kunjungan ini. Semoga lawatan penanda aras ini menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat serta memberi manfaat dalam usaha memperkasakan kecemerlangan pengurusan koperasi.






