MAJLIS SERAHAN SUMBANGAN ASNAF & IFTAR RAMADAN MASJID KARIAH BATU SERAMBAI
7 Mac 2026, Ulu Klawang, Negeri Sembilan – Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (KOPUTRA) telah melaksanakan Majlis Serahan Sumbangan Asnaf & Iftar Ramadan di Masjid Kariah Batu Serambai, Ulu Klawang sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan koperasi dalam menyantuni masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Program dimulakan pada sebelah pagi dengan aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong-royong bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari yang melibatkan penyertaan kakitangan KOPUTRA bersama komuniti setempat. Aktiviti ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Pada sebelah petang pula, majlis diteruskan dengan Program Serahan Sumbangan Asnaf dan Iftar Ramadan yang berlangsung dari jam 6.00 petang hingga 9.00 malam. Program ini dihadiri dan diketuai oleh Tuan Haji Zaharuddin bin Alias, Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad merangkap Pengerusi KOPUTRA, bersama barisan Anggota Lembaga KOPUTRA iaitu Tuan Haji Saifulzaman bin Ahmad (Bendahari KOPUTRA) dan Encik Jasni bin Ahmad (Timbalan Pengerusi KOPUTRA) serta kakitangan KOPUTRA yang bertindak sebagai urus setia program.
Majlis ini merupakan program tahunan KOPUTRA yang telah memasuki tahun penganjuran yang ketiga. Penganjuran program ini juga mencerminkan komitmen KOPUTRA dalam mengamalkan Prinsip Ketujuh Koperasi iaitu Prihatin Terhadap Masyarakat, melalui usaha menyantuni golongan yang memerlukan serta memperkukuhkan hubungan antara koperasi dan komuniti.
Semoga usaha ini dapat memberi manfaat kepada para penerima serta menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dan keberkatan Ramadan dalam kalangan masyarakat setempat.










