MAJLIS BACAAN YASIN DAN DOA SELAMAT SEMPENA PEMBUKAAN AR-RAHNU KOPUTRA CAWANGAN SENAWANG
Senawang, 3 Jun 2026 – Pembukaan Ar-Rahnu KOPUTRA Cawangan Senawang pada hari ini telah diserikan dengan penganjuran Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan keberkatan.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh barisan kepimpinan KOPUTRA yang terdiri daripada Pengerusi KOPUTRA, Tuan Haji Zaharuddin Alias, Timbalan Pengerusi KOPUTRA, Encik Jasni Ahmad, Setiausaha KOPUTRA, Encik Sazali Sajidin, serta Bendahari KOPUTRA, Tuan Haji Saifulzaman Ahmad.
Turut hadir sebagai tetamu jemputan ialah Pengerusi ANGKASA Negeri Sembilan, Puan Hajah Norizan, dan Jawatankuasa Audit ANGKASA (JAD), Tuan Raja Rusman bin Raja Samah, yang bersama-sama memeriahkan dan memberkati majlis berkenaan.
Bacaan Yasin dan Doa Selamat telah dipimpin oleh Ustaz Hafiz, Penyelia Tahfiz KOPUTRA. Majlis kemudianya diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi KOPUTRA, Tuan Haji Zaharuddin Alias, yang memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada warga kerja Ar-Rahnu KOPUTRA Cawangan Senawang.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa Ar-Rahnu KOPUTRA Cawangan Senawang merupakan cawangan Ar-Rahnu pertama yang ditubuhkan di luar Lembah Klang, melengkapkan rangkaian enam cawangan Ar-Rahnu KOPUTRA yang kini beroperasi.
Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Puan Hajah Norizan, yang menyatakan sokongan penuh ANGKASA Negeri Sembilan terhadap usaha KOPUTRA dalam menyediakan perkhidmatan pembiayaan yang mudah, cepat dan patuh Syariah kepada masyarakat sekitar Senawang dan Seremban.
Sebagai penutup acara, sesi penyampaian cenderahati kepada tetamu khas telah diadakan sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan mereka. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi bergambar bersama semua tetamu dan hadirin sebelum bersurai.
Semoga pembukaan Ar-Rahnu KOPUTRA Cawangan Senawang ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan yang mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat melalui perkhidmatan kewangan Islam yang dipercayai dan berdaya saing.








