MESYUARAT PEMBENTANGAN BAJET & STRATEGI KOPUTRA 2026
Putrajaya, 22 November 2025 - KOPUTRA telah selesai menjayakan Mesyuarat Pembentangan Bajet & Strategi KOPUTRA 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 November 2025.
Bertempat di Dewan Bunga Cengkih, Menara Shaftsbury, Putrajaya, sesi strategik ini telah dihadiri oleh barisan penuh Anggota Lembaga Koperasi (ALK), dua (2) orang Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD), serta empat belas (14) orang barisan pengurusan KOPUTRA.
Mesyuarat kali ini menyaksikan pembentangan bajet dan strategi daripada setiap jabatan. Perbincangan dua hala yang telus antara ALK, JAD dan Pengurusan telah diadakan bagi memastikan setiap strategi yang dirangka mampu memacu prestasi KOPUTRA ke tahap yang lebih cemerlang pada tahun hadapan.
Di sebalik keseriusan merangka masa depan koperasi, kami tidak melupakan nilai kekeluargaan. Majlis turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran Tuan Haji Zaharuddin bin Alias, Pengerusi KOPUTRA dan Puan Sharifah Zamzariah binti Syed Abdullah, Anggota Lembaga Koperasi serta Ketua-ketua Jabatan yang lahir pada bulan November dan Disember.
Semoga ukhuwah yang terjalin menjadi nadi kekuatan pasukan KOPUTRA untuk terus berkhidmat demi anggota. Kami bersedia untuk tahun 2026.
























