KUALA LUMPUR 4 Nov. - Sebanyak 33 pesakit kanak-kanak di Wad Kanser Kanak-kanak Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur (HWKKKL) diraikan para sukarelawan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) di sini hari ini.
Kehadiran seramai 30 sukarelawan dari Rakan Sukarelawan Angkasa yang diketuai Naib Presiden Angkasa Mohamad Azmi Omaruddin menceriakan para pesakit yang sedang menjalani rawatan intensif.
Mohamad Azmi berkata, lawatan Amal Angkasa Peduli ke Wad Kanak-kanak Pesakit Kanser ini bukan sekadar untuk memberikan sumbangan tetapi yang lebih penting untuk merapatkan lagi hubungan antara Angkasa dengan anggota masyarakat.
"Lebih-lebih lagi golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak pesakit kanser ini dan memberikan sokongan kepada para penjaga, iaitu ibu bapa yang terpaksa bersengkang mata menjaga anak-anak mereka yang ditimpa penyakit ini," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Kooperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra) Zaharuddin Alias, Penolong Pengarah HWKKKL, Dr. Thinakaran M Selvarajah dan Pakar Kanak-Kanak Dr. Teh Kok Hoi.
Mereka menghabiskan masa hampir dua jam untuk melawat dan memberikan sumbangan kepada setiap pesakit di wad berkenaan. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sukarelawan-angkasa-raikan-33-pesakit-kanser-kanak-kanak-1.781115#ixzz5WFPlaJaA
© Utusan Melayu (M) Bhd