UNDANG - UNDANG KECIL
KOPUTRA
BAHAGIAN I
(PERMULAAN)
Tajuk dan mula berkuatkuasa
1. (1) Undang-undang kecil ini boleh dinamakan Undang-Undang Kecil Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
(2) Undang-undang kecil ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh ianya didaftarkan oleh Suruhanjaya.
Tafsiran
2. Di dalam Undang-undang Kecil ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain ─
“Akta” ertinya Akta Koperasi 1993 dan pindaan-pindaan yang dibuat kepadanya dari semasa ke semasa;
“anggota” termasuklah seseorang yang turut sama dalam permohonan pendaftaran Koperasi ini dan yang telah menandatangan minit mesyuarat agung permulaan koperasi dan seseorang yang diterima menjadi anggota mengikut Peraturan dan Undang-undang Kecil ini selepas pendaftaran, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“arahan” ertinya arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada Koperasi dari semasa ke semasa;
“aturan-aturan” ertinya aturan-aturan yang dibuat oleh Lembaga dari semasa ke semasa bagi melaksanakan mana-mana aktiviti yang dijalankan oleh Koperasi tertakluk kepada peruntukan Akta Koperasi 1993, Peraturan, Undang-undang Kecil dan kelulusan mesyuarat agung perwakilan;
“BBMB” ertinya Bank Bumiputra Malaysia Berhad, anak syarikatnya dan syarikat-syarikat bersekutu dengannya;
“BMMB” ertinya Bank Muamalat Malaysia Berhad;
“CIMB” ertinya CIMB Bank Berhad;
“dividen” ertinya bahagian keuntungan Koperasi ini yang dibahagikan di kalangan anggota-anggotanya mengikut kadar modal syer atau modal yuran yang dipegang oleh mereka, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“elaun” ertinya saraan yang dibayar kepada seseorang anggota Lembaga atau Jawatankuasa Audit Dalaman bagi Koperasi ini sebagai balasan kerana khidmatnya yang diberikan kepada Koperasi ini secara tetap;
“garis panduan” ertinya garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia kepada Koperasi dari semasa ke semasa;
“honorarium” ertinya suatu bahagian keuntungan bersih teraudit koperasi yang diagihkan antara beberapa atau semua anggota Lembaga sebagai balasan bagi perkhidmatan mereka yang lazimnya tidak diberi saraan, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“kawasan operasi” ertinya kawasan di mana Koperasi ini dibolehkan mendapat anggotanya, sebagaimana yang ditakrifkan menurut Peraturan;
“kesalahan boleh daftar” ertinya kesalahan yang boleh didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah-Penjenayah dan Orang-Orang Tak Diingini 1969, sebagaimana yang ditakrifkan menurut Jadual Pertama dan Kedua kepada Akta itu;
“Koperasi” atau “Koperasi ini” ertinya Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad;
“Lembaga” ertinya badan pengelola Koperasi ini yang kepadanya pengurusan hal-ehwal Koperasi ini diamanahkan, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab pembangunan koperasi, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“pegawai” berhubung dengan Koperasi ertinya seorang pengerusi, setiausaha, bendahari atau mana-mana anggota lain Lembaga, dan termasuklah ketua pegawai eksekutif, mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Lembaga, Peraturan atau perintah atau Undang-undang Kecil untuk memberi arahan berkenaan dengan urusan Koperasi ini, atau mana-mana pekerja, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“pelantikan” termasuklah apa-apa pelantikan atau pelantikan semula, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“Pengerusi Eksekutif” ertinya Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“Peraturan” ertinya peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta Koperasi 1993 dan pindaan-pindaan yang dibuat kepadanya dari semasa ke semasa;
“perwakilan” ertinya wakil anggota-anggota individu yang dipilih di mesyuarat peringkat kawasan anggota-anggota Koperasi ini, bagi menghadiri mesyuarat agung perwakilan, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“potongan langganan” ertinya bahagian keuntungan Koperasi ini yang dibahagikan di kalangan anggota-anggotanya mengikut kadar banyaknya perniagaan yang dilakukan oleh mereka dengan Koperasi ini dan yang daripadanya keuntungan Koperasi ini diperoleh, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“prinsip koperasi” termasuklah ─
(a) keanggotaan sukarela dan terbuka;
(b) kawalan demokratik oleh anggota;
(c) penglibatan ekonomi oleh anggota;
(d) autonomi dan kebebasan;
(e) pendidikan, latihan dan maklumat;
(f) kerjasama antara koperasi; dan
(g) mengambil berat terhadap masyarakat,
sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“pulangan” termasuklah apa-apa bentuk sewaan, pulangan, dividen atau faedah, termasuk apa-apa fi atau hadiah, yang kena dibayar atau akan diberikan berhubung dengan apa-apa urusniaga, transaksi atau surat cara, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“sabitan” termasuklah sesuatu dapatan bersalah dan pembuktian kesalahan, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“simpanan khas” ertinya wang yang didepositkan oleh seseorang anggota dengan Koperasi ini dengan niat nyata untuk menggunakan wang yang didepositkan untuk suatu maksud yang dibenarkan di bawah Peraturan, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“subsidiari” ertinya sesuatu syarikat, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Syarikat 1965, yang komposisi Lembaga Pengarahnya atau lebih daripada separuh kuasa mengundinya dikawal oleh Koperasi ini, atau yang lebih daripada separuh modal syer diterbitkannya dipegang oleh Koperasi ini, dan termasuklah sesuatu subsidiari, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta itu, bagi syarikat itu, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“Suruhanjaya” ertinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“syer” ertinya bahagian dalam modal syer Koperasi ini yang disumbangkan oleh seseorang anggota berkenaan dengan keanggotaannya dalam Koperasi ini, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“Tribunal Koperasi” ertinya Tribunal Koperasi yang ditubuhkan menurut seksyen 83 Akta Koperasi 1993;
“Undang-undang Kecil” ertinya Undang-undang Kecil berdaftar yang dibuat oleh Koperasi ini pada menjalankan apa-apa kuasa yang diberikan oleh Akta Koperasi 1993 dan termasuklah sesuatu pindaan berdaftar Undang-undang Kecil, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“wang berlebihan” ertinya tertakluk kepada peraturan-peraturan, wang yang melebihi amaun yang diperlukan oleh Koperasi ini bagi kegunaan segera sebagai modal kerja bagi perniagaannya, yang boleh didepositkan atau dilaburkan di luar Koperasi ini tanpa menjejaskan pengendalian perniagaan itu, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993;
“yuran” ertinya jumlah wang yang disumbangkan pada lat-lat masa yang tetap oleh seseorang anggota berkenaan dengan keanggotaannya dalam Koperasi ini dan tidak boleh dikeluarkan kecuali menurut syarat yang ditetapkan dalam Undang-undang Kecil atau apabila tamat keanggotaannya, sebagaimana yang ditakrifkan menurut seksyen 2 Akta Koperasi 1993.
Perubahan dari segi nahu, jenis jantina dan bilangan
3.
(1) Jika mana-mana perkataan atau perbahasan ditakrif dalam sesuatu undang-undang bertulis takrif itu hendaklah diperluaskan kepada segala perubahan nahu dan perbahasan kognat perkataan itu atau perbahasan yang ditakrifkan.
(2) Perkataan-perkataan dan perbahasan-perbahasan yang memaksudkan jenis lelaki meliputi perempuan.
(3) Perkataan-perkataan dan perbahasan-perbahasan dalam bilangan tunggal meliputi bilangan jamak, dan perkataan- perkataan dan perbahasan-perbahasan dalam bilangan jamak meliputi bilangan tunggal.
BAHAGIAN II
NAMA, ALAMAT BERDAFTAR DAN KAWASAN OPERASI
Nama
4. Menurut subseksyen 7(4) dan (5) Akta, Koperasi ini hendaklah dinamakan Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Alamat
5. (1) Alamat yang didaftarkan bagi Koperasi ini ialah Wisma KOPUTRA,
No. 43-A & 43-B, Jalan Sungai Besi Indah 1/19, Taman Sungai Besi Indah, 43300 Seri Kembangan, Selangor
(2) Koperasi hendaklah memberitahu kepada Suruhanjaya dalam tempoh tiga puluh (30) hari tentang tiap-tiap pertukaran alamat menurut seksyen 11 Akta.
Kawasan operasi
6. Kawasan operasi Koperasi ini ialah di seluruh Malaysia.
BAHAGIAN III
MAKLUMAT, TUJUAN, AKTIVITI
Matlamat
7. Menurut subseksyen 4(1) Akta, matlamat Koperasi ini ialah untuk meningkatkan kepentingan ekonomi anggotanya mengikut prinsip koperasi.
Fungsi
8. Fungsi utama Koperasi ini ialah perkhidmatan.
Aktiviti
9. (1) Bagi mencapai matlamat dan tujuan yang tersebut di dalam undang-undang kecil 7 amnya dan 8 khasnya, Koperasi boleh, tertakluk kepada peruntukan Akta dan Peraturan, menjalankan aktiviti-aktiviti berikut:
(a) Menjalankan perkhidmatan pencucian pejabat, bangunan, industri,pengurusan hostel, hotel dan dobi;
(b) Mengadakan kemudahan untuk membolehkan anggota-anggota menyimpan sebahagian daripada pendapatan dan memberi pinjaman kepada mereka bagi maksud yang berfaedah dan mendatangkan keuntungan yang difikirkan munasabah oleh Lembaga:
(c) Menyediakan skim pembiayaan kepada anggota untuk membeli barangan elektrik, perabut, komputer, motorsikal dan lain-lain bentuk pembiayaan;
(d) Menjalankan perniagaan, perdagangan, perindustrian, kontrak, pembangunan hartanah, perladangan, kewangan, membuka sekolah/institut pendidikan swasta dan perniagaan perundingan projek dan pengurusan;
(e) Menjalankan perkhidmatan teksi, bas, keretapi, feri, kapal terbang, lori dan lain-lain perkhidmatan yang berkaitan dengan pengangkutan;
(f) Menjalankan kegiatan pengguna termasuk mini ’market’, supermarkat, hypermarkat dan lain-lain perkhidmatan yang berkaitan dengannya seperti perolehan, pengurusan stok dan jualan barangan pengguna;
(g) Menjalankan aktiviti pengilangan, perindustrian ringan dan berat, pembuatan dan lain-lain industri pengilangan;
(h) Menjalankan aktiviti perhotelan, tempat peranginan, restoran, kafeteria, pembekalan makanan dan minuman dan lain-lain perkhidmatan yang berkaitan;
(i) Menjalankan aktiviti percetakan, penjilidan, penerbitan dan lain-lain kerja berkaitan;
(j) Menjalankan aktiviti perkhidmatan telekomunikasi dan bidang teknologi maklumat;
(k) Menjalankan aktiviti membeli, menjual, mengedar, servis dan membaiki kenderaan bermotor;
(l) Menjalankan aktiviti stesen minyak;
(m) Menjalankan aktiviti latihan dan pendidikan dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, perniagaan, akaun dan kewangan, undang-undang, kesetiausahaan, komputer, kejuruteraan, dan lain-lain bidang iktisas di peringkat sijil, diploma dan ijazah;
(n) Menjalankan aktiviti pembinaan dalam bidang-bidang sivil, strukutur, mekanikal, elektrik, bangunan dan aktiviti senggaraan yang berkaitan;
(o) Menjalankan aktiviti pajak gadai Islam (Ar-Rahnu);
(p) Menjalankan aktiviti kebajikan anggota, pendidikan dan perniagaan;
(q) Membeli, menjual, memindahkan hak milik, mendirikan, menyewa, mencagar, memajak, menggadai dan memiliki harta alih dan harta tak alih;
(r) Melaburkan wang berlebihan dalam perkara yang dibenarkan menurut seksyen 54 Akta;
(s) Mengadakan subsidiari menurut seksyen 19 Akta dengan kelulusan Suruhanjaya;
(t) Menyertai usahasama dan menjadi anggota kepada koperasi-koperasi lain; dan
(u) Mengadakan aktiviti lain yang berfaedah dengan kelulusan mesyuarat agung perwakilan.
(2) Bagi menjayakan aktiviti di bawah fasal (1), Koperasi boleh mendapatkan─
(a) modal dengan cara mengumpul syer, yuran, deposit, pinjaman atau simpanan khas daripada anggota; dan
(b) deposit atau pinjaman daripada bukan anggota dengan kelulusan Suruhanjaya menurut perenggan 50(e), subseksyen 52(2) dan seksyen 52A Akta dan Peraturan.
(3) Bagi mengendalikan sesuatu aktiviti yang disebutkan menurut fasal (1) itu, Lembaga hendaklah membuat aturan aktiviti yang sesuai yang diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan dan satu salinan hendaklah dikemukakan kepada Suruhanjaya dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan itu.
(4) Bagi melaksanakan skim berhubung dengan simpanan khas, deposit atau pinjaman menurut Peraturan, Lembaga hendaklah─
(a) menyediakan suratcara berasingan yang menyatakan dengan jelas terma dan syarat-syarat bagi skim tersebut;
(b) mengemukakan suratcara skim itu kepada mesyuarat agung perwakilan untuk kelulusan; dan
(c) mengemukakan satu salinan suratcara yang diluluskan itu kepada Suruhanjaya dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan itu.
(5) Walau apa pun peruntukan undang-undang kecil ini, setiap aktiviti yang hendak dijalankan adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain.
BAHAGIAN IV
KEANGGOTAAN
Anggota
10. Anggota-anggota Koperasi ini termasuklah seseorang yang turut sama dalam permohonan mendaftarkan Koperasi ini dan yang telah menandatangan minit mesyuarat agung permulaan koperasi dan seseorang yang diterima menjadi anggota mengikut Peraturan dan undang-undang kecil ini selepas pendaftaran.
Kelayakan menjadi anggota
11. (1) Keanggotaan Koperasi ini terbuka kepada
(a) kakitangan BMMB dan kakitangan CIMB.
(b) kakitangan tetap Koperasi yang telah disahkan jawatannya.
(c) bekas kakitangan BBMB dan BMMB.
(d) suami atau isteri anggota yang sah dan anak-anak yang layak.
(2) Seseorang yang ingin menjadi anggota Koperasi ini mestilah─
(a) warganegara Malaysia;
(b) telah mencapai umur lapan belas (18) tahun;
(c) bermastautin atau mempunyai hartanah atau bekerja dalam kawasan operasi Koperasi ini; dan
(d) bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar, atau bankrap yang belum dilepaskan, atau pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu tahun.
Permohonan menjadi anggota
12. Permohonan menjadi anggota hendaklah dibuat dalam borang rasmi Koperasi ini dan dialamatkan kepada setiausaha Koperasi atau pegawai Koperasi yang dipertanggungjawabkan.
Fi masuk
13. (1) Tiap-tiap permohonan menjadi anggota hendaklah disertakan dengan fi masuk sebanyak RM40.00 (Ringgit: empat puluh). Fi masuk itu menurut perenggan 50(a) Akta akan dikembalikan kepada pemohon jika permohonannya ditolak oleh Lembaga.
(2) Bekas anggota yang memohon untuk menjadi anggota semula dikenakan fi masuk sebanyak RM100.00 (Ringgit: satu ratus).
(3) Penama atau wakil yang sah kepada anggota yang mati jika memohon untuk menjadi anggota dalam tempoh enam (6) bulan selepas kematian anggota itu, tidak dikenakan fi masuk.
(4) Semua fi masuk hendaklah dikreditkan ke dalam akaun untung rugi.
Ikrar anggota
14. (1) Seseorang yang memohon untuk menjadi anggota hendaklah diminta menandatangan suatu ikrar bahawa dia─
(a) akan terikat dengan Undang-undang Kecil ini dan aturan-aturan aktiviti yang sedia ada serta apa- apa pindaan;
(b) bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar; dan
(d) tidak pernah dibuang daripada keanggotaan mana-mana koperasi dalam tempoh satu (1) tahun.
(2) Mana-mana pemohon yang enggan menandatangan ikrar tersebut tidak boleh diterima menjadi anggota.
(3) Seseorang yang telah menjadi anggota dengan sebab turut sama dalam membuat permohonan bagi pendaftaran Koperasi ini dan mereka yang telah menandatangan minit mesyuarat agung permulaan Koperasi ini, dikehendaki menandatangan ikrar seperti dalam fasal (1) dalam tempoh empat puluh lima (45) hari selepas diterima perakuan pendaftaran Koperasi. Kegagalan menandatangan ikrar tersebut boleh menyebabkan dia disingkir.
Penerimaan menjadi anggota
15. Permohonan menjadi anggota hendaklah dipertimbangkan oleh Lembaga dalam mesyuaratnya yang boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan itu tanpa menyatakan sebab-sebabnya. Seseorang yang diterima menjadi anggota hendaklah diberitahu secara bertulis dalam tempoh tidak lewat daripada tiga puluh (30) hari selepas penerimaannya itu.
Perolehan hak, kewajipan dan liabiliti anggota
16. Menurut seksyen 28 Akta, tiap-tiap anggota yang telah menjelaskan bayaran RM500.00 (Ringgit: lima ratus) syer boleh melaksanakan segala hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota, sebagaimana yang terkandung di dalam Undang-undang Kecil ini.
Pemberian Undang-undang Kecil
17. Tiap-tiap anggota hendaklah diberi dengan percuma satu (1) naskah undang-undang kecil ini. Naskah tambahan akan dikenakan bayaran.
Penama
18. (1) Tiap-tiap anggota Muslim hendaklah menamakan seorang wakil di sisi undang-undang untuk menerima setelah dia mati, wang yang terhak baginya di dalam Koperasi ini bagi diagihkan kepada waris yang berhak mengikut hukum Islam.
(2) Tiap-tiap anggota yang bukan Muslim hendaklah menamakan seorang atau lebih daripada seorang sebagai penama.
(3) Anggota itu boleh dari semasa ke semasa membatalkan atau menukar penamaan tersebut dan hendaklah memberitahu Koperasi akan perubahan, jika ada, mengenai penamaan itu.
(4) Penamaan hendaklah dibuat dalam borang rasmi Koperasi.
(5) Tertakluk kepada undang-undang kecil 11, seseorang penama boleh diterima menjadi anggota dan penama yang demikian itu hendaklah dianggap telah menjadi anggota mulai tarikh anggota yang digantikannya itu diterima sebagai anggota.
Liabiliti anggota
19. (1) Liabiliti seseorang anggota hendaklah terhad kepada jumlah syer atau yuran yang dimilikinya sekiranya pendaftaran Koperasi ini dibatalkan.
(2) Liabiliti seseorang bekas anggota hendaklah tidak berterusan lebih daripada dua (2) tahun dari tarikh keanggotaannya terhenti, menurut subseksyen 35(1) Akta.
(3) Harta pusaka seseorang anggota yang telah mati tidak bertanggungan bagi hutang Koperasi ini, sebagaimana yang ada pada tarikh kematiannya, melebihi tempoh dua (2) tahun dari tarikh kematian itu menurut subseksyen 35(2) Akta.
(4) Harta pusaka menurut fasal (3) adalah syer dan yuran dalam Koperasi ini.
Hilang kelayakan sebagai anggota
20. Seseorang anggota akan hilang kelayakannya sebagai anggota jika dalam tempoh menjadi anggota, dia─
(a) tidak upaya dari segi mental;
(b) seorang bankrap yang belum dilepaskan;
(c) seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan boleh daftar;
(d) telah dibuang daripada menjadi anggota di bawah Akta ini dan suatu tempoh selama satu (1) tahun belum lagi berlalu dari tarikh pembuangan itu; atau
(e) tidak lagi bermastautin, mempunyai hartanah dan bekerja dalam kawasan operasi Koperasi.
Terhenti menjadi anggota
21. (1) Keanggotaan seseorang anggota terhenti atas sebab berikut:
(a) mati;
(b) menarik diri menurut undang-undang kecil 22;
(c) dibuang menurut undang-undang kecil 23; atau
(d) berhenti atau bersara dari berkhidmat dengan BMMB atau CIMB, atau Koperasi kecuali anggota yang memohon meneruskan keanggotaan di bawah fasal (3) Undang-undang Kecil 11.
(2) Lembaga hendaklah menyingkir seseorang anggota yang─
(a) didapati membuat ikrar palsu menurut undang-undang kecil 14;
(b) hilang kelayakan sebagai anggota menurut undang-undang kecil 20;
(c) terhenti keanggotaannya menurut perenggan (c) fasal (1);
(d) gagal menjelaskan syer minimum menurut undang-undang kecil 55; atau
(e) gagal menjelaskan yuran menurut undang-undang kecil 56 tiga (3) bulan berturut-turut dengan tiada kebenaran Lembaga.
Menarik diri
22. (1) Seseorang anggota boleh menarik diri daripada Koperasi ini dengan memberi notis bertulis dua belas (12) bulan terlebih dahulu kepada Lembaga. Atas sebab yang munasabah, Lembaga boleh membenarkan penarikan diri dalam tempoh yang singkat.
(2) Melainkan tarikh lebih awal dipersetujui oleh Lembaga, maka keanggotaan anggota itu hendaklah terhenti hanya pada hari genap tempoh notisnya.
(3) Dalam tempoh notis itu, anggota yang demikian hendaklah masih mempunyai hak, kewajipan dan liabiliti sebagai seorang anggota.
Penggantungan dan pembuangan anggota
23. (1) Seseorang anggota hendaklah dianggap telah bertindak memudaratkan kepentingan Koperasi dan boleh digantung keanggotaannya jika didapati melakukan mana-mana satu daripada perkara berikut:
(a) merujukkan pertikaian atau aduan kepada mana-mana orang selain daripada Suruhanjaya;
(b) membuat kenyataan dalam akhbar atau mana-mana media massa mengenai Koperasi ini tanpa kebenaran Lembaga;
(c) membuat tuduhan palsu ke atas anggota Lembaga atau anggota atau bekas anggota atau pekerja Koperasi ini;
(e) memburuk-burukkan Koperasi sehingga mencemarkan nama baik dan menjejaskan urusan perniagaan Koperasi ini; atau
(f) bertindak di luar etika mesyuarat di dalam mana-mana mesyuarat sehingga menjejaskan perjalanan mesyuarat itu.
(2) Keputusan untuk menggantung keanggotaan seseorang anggota boleh dibuat oleh Lembaga hanya setelah anggota yang berkenaan itu diberitahu secara bertulis mengenai tuduhan yang jelas terhadapnya dan diberi peluang untuk menyatakan sebab mengapa keanggotaannya tidak boleh digantung.
(3) Tiap-tiap kes penggantungan hendaklah dibentangkan kepada mesyuarat agung yang terawal dan dijadikan sebagai agenda pertama, dan anggota yang digantung keanggotaannya itu hendaklah diberitahu secara bertulis tidak kurang daripada lima belas (15) hari sebelum diadakan mesyuarat, berkaitan tarikh, masa, tempat dan haknya untuk membela diri akan dijalankan di mesyuarat itu.
(4) Sebelum mengesahkan atau mengetepikan penggantungan itu, mesyuarat agung hendaklah mendengar penjelasan anggota yang digantung oleh Lembaga itu, jika dia memilih untuk memberi penjelasan, dan keanggotaannya tidak lucut melainkan jika mesyuarat agung perwakilan dengan undi dua pertiga (2/3) daripada perwakilan yang hadir membuat keputusan membuangnya.
(5) Sehingga perkara penggantungan keanggotaannya diputuskan oleh mesyuarat agung perwakilan, anggota yang berkenaan itu tidak mempunyai apa-apa hak dan kewajipan sebagai anggota melainkan hak menyuarakan hal penggantungan keanggotaannya itu di dalam mesyuarat agung perwakilan.
Penyelesaian wang anggota
24. (1) Jika seseorang anggota terhenti daripada menjadi anggota Koperasi ini di bawah undang-undang kecil 21, semua wang kepunyaannya melainkan nilai syer miliknya, setelah ditolak hutangnya dengan Koperasi ini hendaklah─
(a) sekiranya dia ditamatkan keanggotaannya, dikembalikan kepadanya dengan segera tanpa apa-apa syarat;
(b) sekiranya dia hilang keupayaan dari segi mental dan tiada pentadbir atau pemegang amanah bagi hartanya yang telah dilantik, dikembalikan kepada sesiapa yang difikirkan wajar untuk menerima bagi pihaknya sebaik sahaja penerima itu ditentukan;
(c) sekiranya dia mati, dikembalikan kepada penamanya atau warisnya atau wakilnya yang sah, menurut seksyen 24 Akta, disyaratkan bahawa bagi seseorang anggota Muslim, pengembalian tidak boleh dibuat melainkan kepada wakilnya yang sah atau kepada Pegawai Pentadbir Pusaka jika selepas enam (6) bulan dari tarikh kematiannya, wakilnya yang sah tidak dapat dipastikan atau tidak dilantik;
(d) sekiranya dia menarik diri, dikembalikan kepadanya selepas akhir tempoh notis; dan
(e) sekiranya dia tidak lagi bermastautin, mempunyai hartanah dan bekerja dalam kawasan operasi Koperasi, dikembalikan kepadanya dengan sewajarnya.
(2) Penyelesaian mengenai syer seseorang yang terhenti keanggotaannya sebagaimana yang ditentukan dalam akaun teraudit terakhir Koperasi ini, hendaklah tertakluk kepada peruntukan undang-undang kecil 58 dan 59.
BAHAGIAN V
ORGANISASI DAN PENGURUSAN KOPERASI
Mesyuarat agung perwakilan
25. (1) Tertakluk kepada peruntukan Akta, Peraturan, arahan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya dari semasa ke semasa dan Undang-undang Kecil, kuasa tertinggi bagi Koperasi ini hendaklah terletakhak pada mesyuarat agung perwakilan, menurut seksyen 36 Akta, yang padanya tiap-tiap anggota mempunyai hak untuk hadir dan mengundi.
(2) Mesyuarat agung perwakilan hendaklah terbahagi kepada dua (2) jenis iaitu mesyuarat agung perwakilan tahunan dan mesyuarat agung perwakilan khas.
Pemilihan perwakilan dan urusan mesyuarat agung kawasan.
26. (1) Bagi maksud seksyen 37 Akta, Lembaga boleh menentukan kawasan-kawasan mesyuarat dan memanggil satu mesyuarat agung di tiap-tiap kawasan untuk memilih perwakilan ke mesyuarat agung perwakilan. Setiap kawasan hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya lima puluh (50) anggota.
(2) Bilangan perwakilan yang dipilih bagi sesuatu kawasan hendaklah mengikut nisbah anggota seperti berikut:
(a) bagi tiap-tiap lima puluh (50) orang anggota, seorang perwakilan;
(b) jumlah perwakilan bagi sesuatu kawasan hendaklah tidak melebihi sepuluh (10) orang.
(3) Notis bagi mesyuarat agung kawasan hendaklah─
menentukan tarikh, masa, tempat dan agenda mesyuarat;
(a) menentukan tarikh, masa, tempat dan agenda mesyuarat
(b) diberi kepada anggota layak dan tinggal dalam sesuatu kawasan tidak kurang daripada lima belas (15) hari sebelum diadakan mesyuarat agung itu; dan
(c) disampaikan berasingan melalui pos atau dengan cara lain yang menasabah;
(4) Hanya anggota-anggota yang telah menjelaskan bayaran menurut undang-undang kecil 16 pada tiga (3) bulan sebelum tarikh mesyuarat agung kawasan, berhak menerima notis untuk menghadiri mesyuarat agung kawasan dan berhak mempunyai satu (1) undi dan layak menjadi seorang perwakilan ke sesuatu mesyuarat agung perwakilan.
(5) Seorang perwakilan akan kekal menjadi perwakilan selagi dia menjadi anggota, sehingga mesyuarat agung kawasan yang akan datang untuk memilih perwakilan-perwakilan baru. Sekiranya perwakilan itu berhenti menjadi anggota atau menarik diri menjadi perwakilan, maka hilanglah hak perwakilan kawasan yang berkenaan.
(6) Kuorum bagi mengadakan mesyuarat agung kawasan hendaklah satu pertiga (1/3) daripada jumlah anggota yang layak menerima notis mesyuarat dalam kawasan yang berkenaan atau dua puluh (20) orang, mengikut mana yang kurang. Sekiranya dalam masa tiga puluh minit selepas waktu yang ditetapkan bagi mesyuarat itu bilangan anggota yang hadir belum cukup kuorum, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan.
(7) Lembaga kemudiannya hendaklah memanggil satu mesyuarat lain dengan memberi notis seperti yang diperuntukkan di dalam fasal (3) . Sekiranya dalam masa tiga puluh minit selepas masa yang ditetapkan bagi mesyuarat ini, tidak hadir kuorum yang dikehendaki di bawah fasal ini, maka perwakilan tidaklah boleh dipilih dan hilanglah hak perwakilan kawasan itu.
(8) Anggota-anggota yang hadir dalam mesyuarat agung kawasan hendaklah memilih seorang pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat dan seorang setiausaha untuk merekodkan segala butir-butir mesyuarat. Minit mesyuarat hendaklah ditandatangani oleh pengerusi dan setiausaha mesyuarat yang dipilih oleh anggota-anggota itu dan hendaklah dikirimkan kepada Lembaga dalam masa tujuh hari dari tarikh mesyuarat diadakan.
(9) Seseorang anggota tidak boleh melantik wakil untuk hadir atau mengundi bagi pihaknya dalam suatu mesyuarat agung kawasan.
(10) Seseorang anggota Lembaga hendaklah─
(a) dianggap sebagai seorang perwakilan dalam mesyuarat agung perwakilan tahunan yang diadakan;
(b) menjadi seorang perwakilan dalam mesyuarat agung perwakilan walaupun ia mengosongkan jawatan atau tidak dipilih sebagai Lembaga; dan
(c) menjadi perwakilan sehingga mesyuarat agung kawasan terdekat.
(11) Menurut Peraturan, mesyuarat agung kawasan hendaklah diadakan sekurang-kurangnya dua tahun sekali iaitu selewat-lewatnya satu bulan sebelum mesyuarat agung perwakilan tahunan dan hendaklah menimbangkan perkara-perkara berikut─
(a) akaun teraudit Koperasi, jika tiada, draf akaun;
(b) belanjawan tahunan untuk dibentangkan di mesyuarat agung tahunan Koperasi;
(c) cadangan pindaan kepada Undang-undang Kecil Koperasi; jika ada;
(d) melantik perwakilan ke mesyuarat agung perwakilan tahunan Koperasi; dan
(e) usul-usul daripada Lembaga dan anggota, jika ada, untuk dikemukakan kepada Koperasi selewat- lewatnya tujuh hari sebelum mesyuarat agung perwakilan tahunan.
Mesyuarat agung perwakilan tahunan
27. Mesyuarat agung perwakilan tahunan menurut subseksyen 39(1) Akta, hendaklah diadakan tidak lewat daripada enam (6) bulan selepas berakhirnya setiap tahun kewangan atau tempoh yang lebih panjang sebagaimana yang diluluskan oleh Suruhanjaya.
Mesyuarat agung perwakilan khas
28. (1) Lembaga pada bila-bila masa boleh, atau apabila ada rekuisisi yang ditandatangan oleh sekurang-kurangnya satu perlima (1/5) atau satu ratus (100) perwakilan mengikut mana yang kurang, hendaklah memanggil suatu mesyuarat agung perwakilan khas menurut subseksyen 40(1) Akta.
(2) Suruhanjaya atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Suruhanjaya menurut subseksyen 40(2) Akta, boleh memanggil pada bila-bila masa suatu mesyuarat agung perwakilan khas, mengikut cara, masa dan tempat yang diarahkannya, dan boleh menentukan perkara-perkara yang hendaklah dibincangkan oleh mesyuarat itu, dan mesyuarat itu hendaklah mempunyai segala kuasa dan tertakluk kepada kaedah yang sama seperti mesyuarat agung perwakilan yang dipanggil menurut Akta atau Undang-undang kecil ini.
Notis mesyuarat agung perwakilan
29. (1) Notis bagi sesuatu mesyuarat agung perwakilan hendaklah diberi kepada perwakilan dalam tempoh tidak kurang daripada lima belas (15) hari sebelum diadakan mesyuarat agung perwakilan itu.
(2) Notis hendaklah menentukan tarikh, masa, tempat dan agenda mesyuarat dan bagi mesyuarat agung perwakilan tahunan hendaklah disertakan─
(a) akaun-akaun dan kunci kira-kira Koperasi ini dan subsidiarinya, jika ada, yang teraudit;
(b) belanjawan bagi tahun kewangan yang akan datang;
(c) laporan Lembaga;
(d) laporan Jawatankuasa Audit Dalaman; dan
(e) dokumen-dokumen lain yang berkaitan.
(3) Satu (1) salinan notis hendaklah dipamerkan di pejabat Koperasi ini dan sebagai tambahan boleh juga diterbitkan di dalam mana-mana akhbar tempatan.
(4) Menurut seksyen 41 Akta, Lembaga hendaklah memberi kepada Suruhanjaya notis bertulis yang mengandungi maklumat berkaitan tarikh, masa, tempat dan agenda mesyuarat agung perwakilan yang akan diadakan oleh Koperasi dalam tempoh tidak kurang daripada tiga puluh (30) hari sebelum diadakan mesyuarat agung perwakilan itu.
Kuorum mesyuarat agung perwakilan
30. (1) Kuorum bagi sesuatu mesyuarat agung perwakilan bagi apa-apa maksud adalah seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan.
(2) Kuorum bagi mesyuarat agung perwakilan kerana meminda Undang-undang Kecil ini, hendaklah dua pertiga (2/3) dari jumlah perwakilan, melainkan kuorum terkurang dibenarkan oleh Suruhanjaya menurut Peraturan.
(3) Bagi sesuatu mesyuarat agung perwakilan khas yang dipanggil oleh Suruhanjaya menurut fasal (2) undang- undang kecil 28 yang ditunda─
(a) kuorum hendaklah tidak kurang daripada dua (2) kali ganda bilangan anggota Lembaga; dan
(b) keputusan boleh dibuat dengan kelebihan undi dua pertiga (2/3) daripada perwakilan yang hadir dan layak mengundi, menurut Peraturan.
Undi mesyuarat agung perwakilan
31. (1) Semua perbahasan kecuali yang berkaitan dengan pindaan Undang-undang Kecil hendaklah diputuskan dengan majoriti mudah undi perwakilan yang hadir sebagaimana di dalam daftar kehadiran.
(2) Jika undi sama banyak, maka usul yang diundi itu hendaklah disifatkan kalah. Perwakilan yang berkecuali dianggap tidak menyokong usul itu.
(3) Pengerusi mesyuarat tidak mempunyai undi pemutus.
Pembatalan dan tundaan mesyuarat agung perwakilan khas
32. (1) Jika selepas tiga puluh (30) minit daripada waktu yang ditetapkan bagi sesuatu mesyuarat agung perwakilan khas itu bilangan perwakilan yang hadir masih belum mencukupi kuorum, maka mesyuarat agung itu─
(a) dibatalkan, jika dipanggil oleh Lembaga atau atas rekuisisi perwakilan; atau
(b) ditunda, jika dipanggil oleh Suruhanjaya menurut subseksyen 40(2) Akta.
(2) Bagi mesyuarat yang ditunda di bawah perenggan (b) fasal 1─
(a) tarikh mesyuarat tertunda hendaklah tidak kurang daripada empat belas (14) hari tetapi tidak lebih daripada tiga puluh (30) hari; dan
(b) notis penundaan hendaklah diposkan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh mesyuarat yang ditunda.
(3) Perkara-perkara yang telah dicadangkan bagi mesyuarat agung perwakilan yang ditunda hendaklah dibincangkan pada mesyuarat tertunda itu. Jika terdapat perubahan kepada perkara-perkara yang telah dicadangkan itu, notis baru menurut fasal (1) undang-undang kecil 29 hendaklah diberi kepada tiap-tiap perwakilan bagi mesyuarat tertunda itu.
Fungsi mesyuarat agung perwakilan
33. (1) Menurut Peraturan, fungsi mesyuarat agung perwakilan hendaklah termasuk yang berikut:
(a) mengesahkan minit mesyuarat agung perwakilan tahunan yang terdahulu dan mana-mana mesyuarat agung perwakilan khas yang berselang;
(b) menimbang laporan-laporan Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman;
(c) menimbang dan meluluskan akaun-akaun teraudit Koperasi dan subsidiarinya, jika ada, bersama dengan laporan juruaudit;
(d) memilih anggota Lembaga;
(e) menimbang dan meluluskan belanjawan tahunan bagi tahun kewangan yang akan datang;
(f) meluluskan elaun kepada anggota Lembaga dan saraan kepada anggota Lembaga yang dilantik sebagai pengarah bagi subsidiari Koperasi, jika ada;
(g) meluluskan pelantikan satu panel yang terdiri daripada tidak kurang daripada dua (2) firma audit untuk mengaudit akaun-akaun Koperasi;
(h) menimbang dan meluluskan skop dan had pelaburan daripada wang berlebihan Koperasi;
(i) menentukan had maksimum keterhutangan Koperasi;
(j) melantik suatu jawatankuasa yang terdiri daripada enam (6) orang anggota dan empat (4) orang anggota Lembaga untuk menentusahkan draf minit mesyuarat agung perwakilan tahunan;
(k) menimbang dan meluluskan pembahagian keuntungan;
(l) mengisytihar atau menerbitkan syer bonus, jika ada;
(m) mendengar, menimbang atau memutuskan apa-apa usul atau urusan lain Koperasi yang suatu notis yang tidak kurang daripada tujuh (7) hari telah diberikan;
(n) menimbang dan meluluskan apa-apa cadangan pindaan kepada Undang-undang Kecil Koperasi, jika ada;
(o) mendengar dan memutuskan apa-apa aduan, yang suatu notis yang tidak kurang daripada tujuh (7) hari telah dikemukakan kepada Koperasi yang dikemukakan oleh perwakilan yang terkilan dengan sesuatu keputusan Lembaga;
(p) meluluskan apa-apa perbelanjaan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman; dan
(q) menimbang dan meluluskan apa-apa laporan yang hendak dikemukakan menurut Akta dan Peraturan, jika ada.
(2) Perkara-perkara di dalam perenggan (a), (b), (c), (d) dan (e) fasal (1) hendaklah diputuskan di dalam mesyuarat agung perwakilan tahunan atau mesyuarat agung perwakilan khas yang dipanggil oleh Suruhanjaya, menurut subseksyen 40(2) Akta.
(3) Minit-minit mesyuarat agung perwakilan hendaklah direkodkan dan satu (1) salinan hendaklah diserahkan kepada Suruhanjaya dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas tarikh mesyuarat agung perwakilan itu, menurut perenggan 14(1)(b) Akta.
(4) Mesyuarat agung perwakilan boleh menamatkan pelantikan kesemua atau mana-mana anggota Lembaga dengan syarat usul secara bertulis telah diterima oleh Koperasi dalam tempoh tujuh (7) hari sebelum mesyuarat agung perwakilan diadakan. Sebarang usul tergempar tidak dibenarkan.
Pengerusi mesyuarat agung perwakilan
34. (1) Mesyuarat hendaklah memilih mana-mana perwakilan yang hadir untuk mempengerusikan mesyuarat agung perwakilan.
(2) Pengerusi dengan persetujuan mesyuarat boleh menangguhkan mesyuarat agung perwakilan─
(a) dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh mesyuarat asal;
(b) di dalam kawasan operasi Koperasi; dan
(c) menjalankan urusan mesyuarat yang asal sahaja.
(3) Notis tidak perlu bagi mesyuarat yang ditangguhkan itu.
Lembaga Koperasi
35. Lembaga Koperasi hendaklah mengandungi dua belas (12) orang yang terdiri daripada perwakilan yang dipilih oleh mesyuarat agung perwakilan, menurut seksyen 42 Akta dan perenggan (d) fasal (1) undang-undang kecil 33.
Kelayakan menjadi anggota Lembaga
36. (1) Tiada seorang pun layak menjadi anggota Lembaga atau kekal sebagai seorang anggota Lembaga, jika dia─
(a) telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta;
(b) telah dipecat sebagai seorang pegawai sesuatu Koperasi;
(c) menjadi anggota Jawatankuasa Audit Dalaman bagi Koperasi ini;
(d) ada percanggahan kepentingan diri dalam mana-mana aktiviti yang diusahakan oleh Koperasi ini; atau
(e) belum genap tempoh dua (2) tahun menjadi anggota Koperasi yang telah didaftarkan melebihi dua (2) tahun.
(2) Walau apa pun fasal (5) undang-undang kecil 18, seorang penama atau wakil yang diterima menjadi anggota yang belum genap tempoh dua (2) tahun dari tarikh diterima menjadi anggota tidak layak untuk dipilih menjadi anggota Lembaga.
Tempoh memegang jawatan
37. (1) Satu pertiga (1/3) daripada anggota Lembaga hendaklah mengosongkan jawatan secara bergilir-gilir pada tiap- tiap mesyuarat agung perwakilan tahunan
(2) Aturan yang ditetapkan dalam fasal (1) hendaklah diulangi bergilir-gilir tiap-tiap tahun bagi dua pertiga anggota Lembaga yang selainnya supaya pada permulaan tahun keempat (4) atau lebih awal daripada itu, kesemua anggota Lembaga hendaklah telah mengosongkan jawatan masing-masing sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga (3) tahun sebelum itu.
(3) Pelantikan seseorang anggota Lembaga yang dibuat di bawah subsubperenggan 69(1)(iv)(B) Akta tidak tertakluk kepada fasal (2).
(4) Kekosongan jawatan anggota Lembaga hendaklah dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh kekosongan itu diisi oleh Lembaga dengan melantik mana-mana perwakilan yang berkelayakan dan perkhidmatannya hendaklah tamat sehingga mesyuarat agung perwakilan akan datang.
Lucut dan penggantungan jawatan
38. (1) Seseorang anggota Lembaga akan lucut jawatannya dengan serta-merta jika dia:-
(a) disabitkan atas kesalahan boleh daftar atau kesalahan di bawah Akta atau Peraturan;
(b) menerima apa-apa pelantikan tetap yang bergaji dalam Koperasi ini;
(c) tidak hadir di dalam mesyuarat Lembaga tiga (3) kali berturut-turut, melainkan dengan sebab-sebab yang boleh diterima oleh Lembaga yang telah dimaklumkan terlebih dahulu; atau
(d) hilang kelayakan sebagai anggota, menurut undang-undang kecil 20.
(2) Seseorang anggota Lembaga hendaklah digantung dari jawatannya jika─
(a) sesuatu langkah perbicaraan diambil terhadap anggota itu mengenai sesuatu kesalahan boleh daftar atau sesuatu kesalahan menurut subseksyen 47 (1) Akta; atau
(b) majoriti anggota Lembaga berpuas hati bahawa anggota itu telah bertindak dengan cara yang memudaratkan kepentingan Koperasi ini, menurut Peraturan.
(3) Tiap-tiap kes penggantungan menurut perenggan (b) fasal (2), hendaklah─
(a) didengar oleh mesyuarat agung perwakilan yang terawal diadakan selepas penggantungan itu;
(b) anggota itu telah diberitahu secara bertulis akan kesalahannya dalam masa tujuh (7) hari sebelum diadakan mesyuarat agung perwakilan;
(c) anggota itu diberi peluang membela diri dalam mesyuarat agung perwakilan tersebut; dan
(d) keputusan penggantungan anggota tersebut hendaklah tertakluk kepada pengesahan atau pengetepian oleh majoriti perwakilan yang hadir di dalam mesyuarat agung perwakilan itu.
Penamatan pelantikan
39. (1) Walau apa pun peruntukan fasal (1) undang-undang kecil 37, mesyuarat agung perwakilan mempunyai kuasa menurut Peraturan ─
(a) untuk menamatkan pelantikan mana-mana atau kesemua anggota Lembaga pada bila-bila masa; dan
(b) memilih gantinya dengan syarat bahawa usul secara bertulis untuk menamatkan pelantikan anggota Lembaga itu hendaklah disampaikan kepada Koperasi dalam tempoh tujuh (7) hari sebelum mesyuarat agung perwakilan itu diadakan.
(2) Keputusan untuk menamatkan pelantikan seseorang atau kesemua anggota Lembaga hanya boleh dibuat selepas mesyuarat agung perwakilan itu mendengar penjelasan anggota Lembaga yang terlibat.
(3) Anggota yang ditamatkan pelantikannya menurut Undang-undang Kecil ini tidak boleh dilantik semula sehingga mesyuarat agung perwakilan tahunan yang akan datang.
Mesyuarat Lembaga
40. (1) Mesyuarat Lembaga pertama hendaklah─
(a) diadakan sebaik sahaja selesai mesyuarat agung perwakilan tahunan; dan
(b) melantik di kalangan anggota Lembaga seorang pengerusi, setiausaha dan bendahari.
(2) Mesyuarat Lembaga yang berikutnya hendaklah diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh satu (1) bulan.
(3) Mesyuarat Lembaga hendaklah juga diadakan sekiranya─
(a) Suruhanjaya mengeluarkan arahan; atau
(b) Lima orang anggota Lembaga membuat permintaan bertulis menyatakan perkara-perkara yang hendak dibincangkan.
(4) Keputusan mesyuarat anggota Lembaga adalah sah walaupun─
(a) ketidakhadiran mana-mana Lembaga;
(b) terdapat kecacatan kemudiannya diketahui dalam pelantikan atau kelayakan mana-mana Lembaga atau pembentukan Lembaga;
(c) terdapat peninggalan, kecacatan atau salah aturan mesyuarat; atau
(d) dengan kehadiran atau penyertaan seseorang yang bukan seorang Lembaga.
(5) Lembaga boleh mengundang mana-mana orang ke mesyuarat─
(a) untuk memberi nasihat berkenaan dengan apa-apa perkara yang dibincangkan;
(b) orang tersebut tidak boleh mengundi; dan
(c) boleh dibayar elaun atau perbelanjaan lain sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.
(6) Semasa ketiadaan pengerusi, seorang daripada anggota Lembaga lain yang hadir boleh dipilih untuk mempengerusikan mesyuarat.
Kuorum mesyuarat Lembaga
41. Kuorum mesyuarat Lembaga hendaklah melebihi satu perdua (1/2) daripada bilangan anggota Lembaga menurut undang-undang kecil 35.
Urusan mesyuarat Lembaga
42. Urusan mesyuarat Lembaga hendaklah termasuk yang berikut:
(a) mengesahkan minit mesyuarat Lembaga terdahulu;
(b) membincangkan perkara berbangkit;
(c) mengkaji, membincang, menimbang dan memutuskan di mana berkenaan, perkara-perkara berikut:
(i) keputusan-keputusan mesyuarat agung perwakilan dan menentukan tindakan-tindakan;
(ii) laporan Jawatankuasa Audit Dalaman;
(iii) laporan pengurusan;
(iv) permohonan menjadi anggota Koperasi;
(v) permohonan berhenti daripada menjadi anggota;
(vi) permohonan pembiayaan Islam dan kemudahan kredit daripada anggota;
(vii) permohonan menambah atau mengurangkan ansuran pinjaman; dan
(viii) permohonan menambah atau mengurangkan caruman syer atau yuran.
(d) membentang dan meluluskan kedudukan kewangan bulanan;
(e) mengkaji, membincang dan memutuskan cadangan projek Koperasi;
(f) mengkaji, membincang dan memutuskan─
(i) hal-hal perjawatan;
(ii) program latihan pekerja; dan
(iii) program pendidikan anggota.
(g) melantik Jawatankuasa Audit Dalaman di kalangan anggota menurut undang-undang kecil 50; dan
(h) menjalankan apa-apa urusan lain dengan memberi notis tidak kurang daripada tujuh (7) hari.
Undi anggota Lembaga
43. (1) Semua usul dan cadangan hendaklah diputuskan dengan majoriti mudah undi anggota Lembaga yang hadir.
(2) Jika bilangan undi sama banyak, maka usul atau cadangan yang diundi itu tidak diterima.
(3) Seseorang anggota Lembaga tidak boleh mengundi dalam perkara mengenai dirinya sendiri atau ia ada kepentingan peribadi.
(4) Seseorang anggota Lembaga yang ada kepentingan peribadi dalam perkara yang akan dipertimbangkan oleh mesyuarat hendaklah mengisytiharkan sepenuhnya kepada Lembaga mengenai penglibatan atau kepentingannya dalam perkara itu.
Buku minit mesyuarat Lembaga
44. (1) Segala keputusan mesyuarat Lembaga hendaklah─
(a) diminitkan dalam tempoh tujuh (7) hari;
(b) ditandatangan oleh setiausaha mesyuarat itu; dan
(c) diedarkan kepada anggota Lembaga dalam tempoh empat belas (14) hari.
(2) Minit yang telah disahkan dalam mesyuarat berikutnya hendaklah ditandatangan oleh pengerusi mesyuarat tersebut.
(3) Minit bagi sesuatu mesyuarat Lembaga hendaklah diserahkan─
(a) kepada Suruhanjaya menurut subperenggan 14(1)(c) Akta; dan
(b) dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas tarikh mesyuarat itu.
Kuasa dan kewajipan Lembaga
45. (1) Lembaga bertanggungjawab memastikan pentadbiran dan pengurusan Koperasi dikendalikan dengan teratur, menurut subseksyen 44(1) Akta.
(2) Bagi melaksanakan tanggungjawab di bawah fasal (1), Lembaga hendaklah mempunyai kuasa dan kewajipan yang berikut:
(a) melantik seorang pengerusi, setiausaha dan bendahari di kalangan anggotanya di dalam mesyuarat Lembaga yang diadakan menurut perenggan (b) fasal (1) undang-undang kecil 40;
(b) mengemukakan suatu senarai anggota Lembaga yang mengandungi butir-butir berikut:
(i) nama;
(ii) alamat kediaman;
(iii) nombor kad pengenalan;
(iv) tarikh keanggotaan;
(v) pekerjaan; dan
(vi) jawatan dalam koperasi
dalam tempoh lima belas (15) hari selepas mesyuarat agung perwakilan tahunannya kepada Suruhanjaya menurut perenggan 14(1)(a) Akta. Apa-apa perubahan tentang butir-butir berkenaan hendaklah dimaklumkan kepada Suruhanjaya secara bertulis dalam tempoh lima belas (15) hari dari tarikh berlakunya perubahan tersebut;
(c) menimbang dan menerima permohonan keanggotaan;
(d) meluluskan dan mengesahkan pemindahan dan penebusan syer anggota;
(e) melantik─
(i) seorang pegawai yang bergaji tetap; atau
(ii) sebuah firma
bagi menjalankan mana-mana daripada tugas setiausaha dengan syarat pegawai yang dilantik itu tidak boleh menjadi anggota Lembaga, jika perlu;
(f) menyenggara akaun bagi wang yang diterima dan yang dibelanjakan atas nama Koperasi dengan benar dan betul;
(g) menyenggara akaun bagi aset dan liabiliti Koperasi dengan benar dan betul;
(h) membenarkan perbelanjaan, menyemak dan mengawasi semua akaun, buku, rekod serta dokumen Koperasi yang disenggara, diuruskan dengan sempurna dan kemas kini;
(i) membentangkan kepada mesyuarat agung perwakilan tahunan─
(i) akaun perdagangan;
(ii) akaun untung rugi;
(iii) apa-apa penyata sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya;
(iv) kunci kira-kira;
(v) laporan Lembaga menurut subseksyen 59(3) Akta;
(vi) laporan juruaudit; dan
(vii) pandangan Suruhanjaya tentang akaun dan kunci kira-kira
bagi koperasi dan subsidiari, jika ada;
(j) membuat perakuan pembahagian keuntungan bersih dan pengisytiharan syer bonus Koperasi, jika ada, kepada mesyuarat agung perwakilan tahunan;
(k) mengambil tindakan sewajarnya ke atas penyata dan surat arahan Suruhanjaya atau wakilnya;
(l) membentang laporan Jawatankuasa Audit Dalaman dalam mesyuarat agung perwakilan tahunan;
(m) memenuhkan jawatan kosong yang berlaku di dalam Lembaga, menggantung keanggotaan anggota dan anggota Lembaga serta menyingkirkan keanggotaan menurut fasal (2) undang-undang kecil 21(2) dan melucutkan jawatan anggota Lembaga;
(n) memanggil mesyuarat agung perwakilan menurut undang-undang kecil;
(o) membuat perjanjian bagi mendapatkan pinjaman tertakluk kepada kelulusan mesyuarat agung perwakilan;
(p) melantik pekerja termasuk pengurus dengan mengeluarkan surat rasmi yang mengandungi terma dan syarat perkhidmatan;
(q) bertindak atas nama dan bagi pihak Koperasi atau melantik seseorang wakil bagi menyelesaikan segala pertikaian Koperasi atau menjalankan dan memberhentikan mana-mana tindakan mahkamah;
(r) melabur wang berlebihan menurut keputusan mesyuarat agung perwakilan dan tertakluk kepada peruntukan Akta dan Peraturan;
(s) mengkaji dan merancang projek yang memberi manfaat kepada anggota dan Koperasi dengan melaksanakan projek mengikut keputusan mesyuarat agung perwakilan;
(t) melaksanakan projek dan memberi peluang kepada anggota untuk –
(i) mengambil bahagian dalam pelaksanaan projek; atau
(ii) menyumbangkan modal tambahan atau simpanan khas sebagaimana yang dipersetujui;
(u) memasuki perjanjian bagi pihak Koperasi dan dimeterai dengan mohor Koperasi serta ditandatangan oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari atau orang lain yang diberi kuasa oleh Lembaga;
(v) melantik wakil di kalangan anggotanya untuk menghadiri mesyuarat mana-mana koperasi yang dianggotainya;
(w) menubuhkan jawatankuasa, jika perlu, bagi menjalankan aktiviti Koperasi dengan sempurnanya dan mewakilkan kuasa kepadanya dari semasa ke semasa mengikut keputusan Lembaga;
(x) membuat aturan aktiviti dari semasa ke semasa bagi pelaksanaan aktiviti Koperasi dengan kelulusan mesyuarat agung perwakilan dan mengemukakan satu salinannya dalam tempoh tiga puluh (30) hari kepada Suruhanjaya menurut fasal (3) undang-undang kecil 9;
(y) mencadangkan belanjawan termasuk elaun kepada anggota Lembaga dan Jawatankuasa Audit Dalaman untuk dibentangkan di mesyuarat agung perwakilan tahunan Koperasi;
(z) mencadangkan saraan kepada anggota Lembaga yang dilantik sebagai pengarah bagi subsidiari Koperasi untuk dibentangkan di mesyuarat agung perwakilan tahunan Koperasi;
(aa) mengawasi kecekapan, tatatertib dan daya usaha semua pegawai dan pekerja Koperasi dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka;
(bb) memastikan kerahsiaan maklumat perniagaan Koperasi dan anggotanya terpelihara; dan
(cc) melaksanakan tugas lain sebagaimana yang ditentukan oleh Akta, Peraturan, perintah, garis panduan, arahan Suruhanjaya, Undang-undang Kecil dan mesyuarat agung perwakilan dari semasa ke semasa.
(3) Lembaga hendaklah mengisytiharkan kepentingannya berkaitan perniagaan dengan Koperasi dan tidak mengundi atau terlibat dalam perbincangan mengenai perkara di mana dia mempunyai kepentingan.
Liabiliti anggota Lembaga
46. Lembaga hendaklah berhemat dan bertekun seperti ahli perniagaan yang biasa dan hendaklah bertanggungan secara bersama dan berasingan bagi apa-apa kerugian yang ditanggung oleh Koperasi atas sebab kegagalan mereka berhemat dan bertekun sedemikian atau oleh sebab apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan peruntukan Akta, Peraturan, perintah atau Undang-undang kecil ini serta aturan aktiviti yang dibuat di bawahnya atau arahan mesyuarat agung perwakilannya.
Tugas pengerusi
47. (1) Pengerusi hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:
(a) mempengerusikan semua mesyuarat Lembaga;
(b) menandatangan minit mesyuarat yang disahkan;
(c) memperakui cabutan dan salinan dari rekod Koperasi, menurut Peraturan, bersama setiausaha melalui satu akuan yang bertarikh dan ditandatangani;
(d) memanggil sendiri atau melalui setiausaha, mesyuarat Lembaga bila perlu;
(e) mengarahkan Jawatankuasa Audit Dalaman supaya memeriksa buku, rekod dan dokumen Koperasi pada bila-bila masa dan melaporkan kepada Lembaga;
(f) menandatangan permohonan pendaftaran kepada pindaan Undang-undang Kecil dan dokumen lain yang berkaitan bersama dua (2) anggota Lembaga; dan
(g) menyelia secara am pentadbiran, hal-ehwal dan pekerja Koperasi.
(2) Tugas pengerusi menurut perenggan (a) dan (b), fasal (1), boleh diamanahkan kepada mana-mana anggota Lembaga, jika perlu.
Tugas setiausaha
48. (1) Setiausaha hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:
(a) memanggil dan menghadiri mesyuarat agung perwakilan, mesyuarat Lembaga dan mesyuarat jawatankuasa dan menyampaikan segala laporan dan dokumen untuk pertimbangan mesyuarat- mesyuarat itu;
(b) merekodkan perjalanan dan keputusan sesuatu mesyuarat;
(c) menyenggara dan mengemaskini semua daftar anggota, daftar penama, buku dan laporan yang dikehendaki oleh Lembaga;
(d) menguruskan surat-menyurat sebagaimana yang diarahkan oleh Lembaga;
(e) mengesahkan bersama pengerusi salinan segala perkara yang bertulis di dalam buku Koperasi;
(f) menyimpan dan menjaga dengan selamatnya mohor Koperasi; dan
(g) menjalankan tugas lain yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.
(2) Mana-mana tugas setiausaha boleh diamanahkan kepada pengurus atau pekerja tertakluk kepada persetujuan Lembaga.
Tugas bendahari
49. (1) Bendahari hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:
(a) mengendalikan segala urusan perdagangan dan perindustrian Koperasi mengikut dasar yang ditetapkan oleh Lembaga;
(b) menerima dan menjaga semua wang yang diterima oleh Koperasi dan membuat pembayaran mengikut arahan Lembaga;
(c) menyimpan ke dalam bank atas nama Koperasi semua wang yang diterima dalam tempoh dua puluh empat (24) jam hari bekerja daripada penerimaannya;
(d) mengeluarkan resit, menyediakan baucar dan surat lain mengikut arahan Lembaga;
(e) menyimpan dalam Akaun Wang Runcit, wang sebanyak yang diluluskan oleh Lembaga untuk memenuhi perbelanjaan runcit dan perbelanjaan yang dibuat daripada akaun ini boleh diganti seberapa kerap yang perlu;
(f) menyenggara dan menyimpan akaun Koperasi dengan sempurna dan kemaskini supaya dapat diperiksa pada bila-bila masa oleh pihak berkuasa yang berkenaan;
(g) menyediakan akaun tahunan dan laporan tahunan Koperasi untuk dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga;
(h) menyediakan belanjawan tahunan Koperasi dalam bentuk yang menunjukkan dengan jelas segala butiran pendapatan dan perbelanjaan untuk ditimbang oleh Lembaga sebelum dibentangkan dalam mesyuarat agung perwakilan tahunan; dan
(i) menyediakan penyata pendapatan dan perbelanjaan Koperasi yang benar dengan secara dibutirkan satu persatu bagi sesuatu tempoh sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga untuk dibandingkan dengan belanjawan bagi tempoh berkenaan yang telah diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan.
(2) Mana-mana tugas bendahari boleh diamanahkan kepada pengurus atau pekerja tertakluk kepada persetujuan Lembaga.
Jawatankuasa Audit Dalaman
50. Menurut subseksyen 42A(1) Akta, Jawatankuasa Audit Dalaman Koperasi hendaklah mengandungi lima (5) orang, terdiri daripada anggota yang dilantik oleh Lembaga, menurut perenggan (g)undang-undang kecil 42.
Kelayakan menjadi Jawatankuasa Audit Dalaman
51. Tiada seorang pun layak menjadi Jawatankuasa Audit Dalaman atau kekal sebagai seorang Jawatankuasa Audit Dalaman jika dia─
(a) telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah Akta;
(b) telah dipecat sebagai seorang pegawai sesuatu koperasi; dan
(c) menjadi anggota Lembaga Koperasi ini.
Tempoh memegang jawatan
52. (1) Tempoh perkhidmatan semua anggota Jawatankuasa Audit Dalaman ini adalah satu (1) tahun atau sehingga mesyuarat agung perwakilan akan dating, mana yang terdahulu. Perkhidmatan mereka boleh disambung semula setelah diputuskan oleh mesyuarat Lembaga.
(2) Kekosongan dalam Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah diisi oleh Lembaga dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh pengosongan jawatan dengan melantik mana-mana anggota yang layak.
Kuasa dan kewajipan Jawatankuasa Audit Dalaman
53. (1) Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah mempunyai kuasa untuk memeriksa segala rekod perakaunan dan rekod lain yang berhubungan secara langsung atau tidak langsung dengan Koperasi dan subsidiarinya, jika ada, bagi memastikan hal-ehwal Koperasi dijalankan mengikut matlamat penubuhan, undang-undang kecil serta keputusan mesyuarat agung perwakilan.
(2) Jawatankuasa Audit Dalaman mempunyai kuasa memanggil mana-mana orang yang dikehendakinya supaya mengemukakan atau menyerahkan apa-apa maklumat atau buku, akaun dan dokumen yang berkaitan.
(3) Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah menjalankan tugas seperti berikut:
(a) memastikan adanya kuasa dan kesahan bagi segala perbelanjaan;
(b) memeriksa akaun-akaun Koperasi pada lat-lat masa yang tetap dan tidak boleh kurang daripada sekali dalam tempoh tiga (3) bulan;
(c) memberitahu Lembaga apa-apa ketakselarasan yang berlaku dalam pengurusan Koperasi dengan serta- merta; dan
(d) mengemukakan kepada Lembaga laporan mengenai pengurusan dan hal-ehwal Koperasi termasuk pelanggaran terhadap Akta, Peraturan atau undang-undang kecil.
(4) Jawatankuasa Audit Dalaman, tertakluk kepada kelulusan Lembaga boleh dibayar elaun yang sewajarnya atas khidmat yang diberikan kepada Koperasi.
(5) Jawatankuasa Audit Dalaman hendaklah─
(a) bersidang tidak kurang daripada dua (2) kali setahun; dan
(b) mengemukakan laporan bertulis kepada Lembaga dan Suruhanjaya
BAHAGIAN VI
ASET DAN WANG KOPERASI
Wang dan kumpulan wang Koperasi
54. (1) Wang dan kumpulan wang Koperasi boleh mengandungi─
(a) fi masuk, syer dan yuran anggota;
(b) simpanan khas daripada anggota;
(c) pinjaman atau deposit daripada anggota dan bukan anggota;
(d) Kumpulan Wang Rizab Statutori;
(e) Akaun Rizab Modal;
(f) Kumpulan Wang Penebusan Syer;
(g) derma dan pemberian tertentu;
(h) baki keuntungan terkumpul; dan
(i) kumpulan wang lain yang diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan.
(2) Kumpulan wang Koperasi selain daripada Kumpulan Wang Rizab Statutori boleh digunakan bagi melaksanakan aktiviti yang diperuntukkan, menurut fasal (1) undang-undang kecil 9.
Modal syer
55. (1) Menurut perenggan 50(b) Akta, setiap anggota hendaklah melanggan RM500.00 (Ringgit: lima ratus) syer sebagai sumbangan minimum dan hendaklah dijelaskan dalam tempoh yang dinyatakan di bawah fasal (2). Syer minimum ini tidak boleh dikeluarkan kecuali selepas keanggotaan anggota itu tamat.
(2) Tempoh menjelaskan syer minimum menurut fasal (1) adalah sebagaimana berikut:
(a) seseorang yang turut sama dalam permohonan pendaftaran Koperasi ini hendaklah menjelaskan syernya dalam tempoh lima belas bulan dari tarikh perakuan pendaftaran diterima oleh Koperasi;
(b) seseorang yang diterima menjadi anggota mengikut undang-undang kecil 15 hendaklah menjelaskan syernya dalam tempoh lima belas bulan dari tarikh penerimaannya sebagai anggota.
Yuran
56. Yuran bulanan anggota seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 50(c) Akta hendaklah sekurang-kurangnya RM20.00(Ringgit: dua puluh) sebulan. Tiap-tiap anggota boleh membuat bayaran yuran yang lebih mengikut aturan jimat-cermat dan pinjam-meminjam yang dibuat oleh Lembaga dengan kelulusan mesyuarat agung perwakilan.
Skim Simpanan khas, deposit atau pinjaman
57. (1) Koperasi boleh menerima daripada anggotanya─
(a) simpanan khas seperti yang ditetapkan dalam aturan-aturannya dan wang ini boleh dikeluarkan dari semasa ke semasa; atau
(b) deposit dan pinjaman.
(2) Koperasi boleh, dengan kelulusan Suruhanjaya, menerima deposit atau pinjaman daripada bukan anggota Koperasi.
(3) Fasal (2) tidak terpakai kepada deposit atau pinjaman yang diberikan oleh kerajaan.
(4) Pada setiap mesyuarat agung perwakilan tahunan, Koperasi hendaklah─
(a) memberitahu perwakilannya mengenai pinjaman daripada anggota menurut subseksyen 52(3) Akta; dan
(b) menetapkan had maksimum keterhutangan yang sedia ada dan yang baru yang akan ditanggung dalam tahun akan datang.
Pindahan syer
58. (1) Seseorang anggota boleh memindahkan syernya yang melebihi sumbangan minimum menurut fasal (1) undang-undang kecil 55 kepada anggota lain dengan menandatangani borang pemindahan syer.
(2) Pindahan syer tersebut hanya akan berkuatkuasa setelah didaftarkan oleh Koperasi.
(3) Syer seseorang anggota yang mati boleh dipindahkan kepada penama. Bagi anggota Muslim, pemindahan tersebut hendaklah menurut fasal (1) undang-undang kecil 18.
(4) Pemindahan syer tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh enam (6) bulan selepas kematian anggota itu.
Penyelesaian modal syer
59. (1) Jika pemindahan syer tidak dapat dibuat menurut undang-undang kecil 58, bagi seseorang anggota yang tamat keanggotaannya oleh apa-apa sebab jua pun, maka syernya yang diperihalkan di dalam undang-undang kecil itu boleh dikeluarkan tertakluk kepada fasal (2).
(2) Syer boleh ditebus dari Kumpulan Wang Penebusan Syer dan Kumpulan Wang Rizab Statutori tertakluk kepada Peraturan. Nilai tebusan syer ini hendaklah mengikut sebagaimana yang ditunjukkan dalam akaun teraudit terakhir bagi Koperasi akan tetapi tidak boleh melebihi nilai asalnya.
(3) Syer yang ditebus di bawah fasal (2) boleh jika diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan, diterbitkan semula sebagai syer bonus.
Keuntungan modal
60. (1) Menurut subseksyen 55 (1) Akta, semua keuntungan modal yang diperolehi daripada perkara-perkara berikut hendaklah dikreditkan ke Akaun Rizab Modal─
(a) penjualan tanah atau bangunan, atau kedua-duanya sebagai aset tetap; dan
(b) penilaian semula tanah atau bangunan, atau kedua-duanya, sebagai aset tetap, dengan kelulusan Suruhanjaya.
(2) Keuntungan modal menurut perenggan (a) fasal (1) boleh, jika diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan, digunakan bagi semua atau mana-mana maksud yang berikut:
(a) penerbitan syer bonus;
(b) penghapusan kira kerugian terkumpul;
(c) penghapusan kira kerugian modal; dan
(d) pewujudan suatu Kumpulan Wang Penebusan Syer Bonus.
(3) Syer bonus boleh diterbitkan menurut Peraturan berasaskan kepada─
(a) jumlah syer yang dipegang oleh tiap-tiap anggota; atau
(b) penerbitan semula daripada syer bonus yang ditebus,
dengan syarat:
(i) syer menurut perenggan (a) dan (b), dipegang dalam tempoh masa dua belas (12) bulan sebelum tarikh pengisytiharan syer bonus;
(ii) nama anggota yang akan menerima syer itu ada dalam daftar Koperasi pada tarikh pengisytiharan syer bonus itu;
(iii) semua kerugian terkumpul dan semasa telah dihapuskira; dan
(iv) buku dan rekod Koperasi telah disenggara dengan memuaskan menurut pendapat Suruhanjaya.
(4) Syer bonus yang diterbitkan daripada keuntungan modal menurut perenggan (b) fasal (1), boleh dengan kelulusan Lembaga─
(a) dipindahkan kepada anggota lain Koperasi ini; atau
(b) dikeluarkan dalam hal anggota yang mati.
(5) Pemindahan atau pengeluaran menurut fasal (4) dibayar daripada Kumpulan Wang Penebusan Syer Bonus Koperasi.
Kumpulan Wang Rizab Statutori
60. (1) Menurut subseksyen 57(1) Akta, Koperasi ini hendaklah menyenggarakan satu Kumpulan Wang Rizab Statutori.
(2) Koperasi hendaklah memindahkan suatu jumlah wang ke Kumpulan Wang Rizab Statutori berdasarkan jadual di bawah:
Jumlah Terkumpul Kumpulan Wang Rizab Statutori Jumlah Pindahan
Kurang daripada 50% daripada syer dan yuran Tidak kurang 15% daripada untung bersih teraudit
50% tetapi kurang daripada 100% daripada syer dan yuran Tidak kurang 25% daripada untung bersih teraudit
(3) Kumpulan Wang Rizab Statutori tidak boleh dibahagi dan tidak seorang pun anggota berhak untuk menuntut suatu bahagian tertentu daripadanya.
(4) Koperasi boleh membuat pembayaran balik syer dan yuran daripada Kumpulan Wang Rizab Statutori, dan pada setiap masa baki dalam kumpulan wang tersebut hendaklah tidak kurang daripada lima belas (15) peratus daripada jumlah syer dan yuran koperasi berkenaan.
Simpanan khas
62. Menurut perenggan 50(d) Akta, Koperasi boleh menerima simpanan khas tertakluk kepada terma dan syarat-syarat yang dibuat menurut fasal (4) undang-undang kecil 9.
Pinjaman luar
63. (1) Tertakluk kepada subseksyen 52(2) dan 52A Akta dan Peraturan, Koperasi boleh, dengan kelulusan Suruhanjaya, meminjam wang daripada bukan anggota Koperasi.
(2) Koperasi hendaklah memaklumkan kepada anggotanya mengenai pinjaman menurut fasal (1) pada mesyuarat agung perwakilan tahunannya.
Pelaburan wang
64. (1) Wang berlebihan Koperasi boleh dilabur tertakluk kepada peruntukan seksyen 54 Akta dan Peraturan.
(2) Had maksimum yang boleh dilaburkan oleh Koperasi bagi sesuatu maksud hendaklah ditentukan oleh mesyuarat agung perwakilan.
Pemberian pinjaman oleh Koperasi
65. Menurut seksyen 51 Akta, Koperasi boleh memberi apa-apa pembiayaan Islam atau kemudahan kredit lain kepada─
(a) anggotanya, tertakluk kepada terma dan syarat-syarat yang ditetapkan dalam aturan yang diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan;
(b) pekerjanya, termasuk ketua pegawai eksekutif tertakluk kepada terma dan syarat-syarat gunakhidmat mereka; atau
(c) subsidiarinya atau koperasi lain, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya.
Pengagihan untung bersih teraudit
66. (1) Keuntungan bersih teraudit Koperasi seperti yang ditunjukkan dalam akaun untung rugi menurut seksyen 56 Akta, hendaklah diagihkan, tertakluk kepada seksyen 57 Akta, seperti berikut:
(a) sebanyak mana yang ditentukan menurut fasal (2) undang-undang kecil 61 kepada Kumpulan Wang Rizab Statutori; dan
(b) sebanyak mana yang ditentukan dari semasa ke semasa oleh Suruhanjaya dibayar kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
Disyaratkan bahawa menurut subseksyen 57(4) Akta, boleh ditolak apa-apa bayaran yang dibuat menurut perenggan (b) fasal (1) daripada jumlah wang menurut perenggan (a) fasal (1).
(2) Selepas pengagihan menurut fasal (1), dan peruntukan cukai pendapatan, jika ada, baki untung bersih teraudit, termasuk baki keuntungan yang belum dibahagikan menurut subseksyen 57(5) Akta, boleh digunakan bagi semua atau mana-mana maksud yang berikut:
(a) pembayaran potongan langganan;
(b) pembayaran dividen, atas syer dan yuran anggota sebagaimana yang ditentukan oleh arahan atau garis panduan;
(c) pembayaran honorarium kepada anggota Lembaga yang tidak boleh, bagaimanapun, melebihi jumlah wang yang disyorkan oleh mesyuarat agung perwakilan tahunan dan diluluskan oleh Suruhanjaya; atau
(d) pembayaran untuk kebajikan anggotanya dan masyarakat.
(3) Pembayaran dividen daripada mana-mana sumber selain untung bersih teraudit bagi tahun kewangan itu tidak boleh dibuat kecuali dengan mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Suruhanjaya, yang tidak boleh dalam mana-mana hal melebihi apa-apa kadar maksimum sebagaimana yang ditentukan dalam arahan atau garis panduan.
(4) Menurut subseksyen 57(7) Akta, bayaran kepada perkara-perkara menurut perenggan (b) fasal (1), (2) dan (3), boleh dibuat hanya jika semua kerugian terkumpul telah dihapuskira sepenuhnya.
(5) Dengan kelulusan Suruhanjaya, Koperasi boleh, sekiranya kerugian terkumpul tidak dihapuskira sepenuhnya, menggunakan untung bersih terauditnya untuk pembayaran dividen kepada anggotanya tidak boleh melebihi lima (5) peratus daripada jumlah syer atau yuran anggota atau kedua-duanya, menurut subseksyen 57(8) Akta.
Dividen dan potongan langganan
67. (1) Kadar dividen yang dibayar atas syer atau yuran kepunyaan seseorang anggota pada enam bulan sebelum akhir tahun kewangan menurut Peraturan, hendaklah tidak melebihi sepuluh (10) peratus kecuali dengan kelulusan Suruhanjaya. Seseorang yang namanya tidak ada dalam daftar nama anggota Koperasi pada tarikh akhir tahun kewangan yang berkenaan tidak layak menerima dividen.
(2) Dividen hendaklah dikreditkan ke akaun modal yuran anggota sekiranya anggota itu tidak meminta dibayar kepadanya secara tunai dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh dividen itu diisytiharkan.
BAHAGIAN VII
AKAUN DAN AUDIT
Tahun kewangan
68. Tahun kewangan Koperasi ini bermula pada satu haribulan Januari dan berakhir pada tiga puluh satu haribulan Disember setiap tahun.
Penyenggaraan akaun
69. (1) Menurut seksyen 58 Akta, Lembaga hendaklah menyenggara dengan sempurna dan kemas kini rekod-rekod perakaunan dan rekod-rekod lain mengenai tiap-tiap transaksi dan kedudukan kewangan Koperasi dan subsidiarinya, jika ada, yang berkaitan dengan─
(a) aset tetap, pelaburan dan deposit;
(b) syer, yuran serta simpanan khas yang dicarum oleh anggota; dan
(c) aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
(2) Catatan dalam rekod perakaunan dan rekod-rekod lain seperti di fasal (1), hendaklah dibuat dengan seberapa segera tetapi tidak lewat daripada tiga puluh (30) hari dari selesai sesuatu transaksi, menurut subseksyen 58(2) Akta.
(3) Penyediaan akaun-akaun iaitu akaun perdagangan, untung rugi dan kunci kira-kira hendaklah dibuat dengan seberapa segera tetapi tidak lewat daripada dua (2) bulan selepas tamatnya tahun kewangan supaya dapat diaudit.
(4) Akaun-akaun menurut fasal (3) yang telah diaudit hendaklah dibentangkan di dalam mesyuarat agung perwakilan tidak lewat daripada enam (6) bulan selepas tamatnya tahun kewangan itu.
(5) Rekod perakaunan seperti di fasal (1) hendaklah disimpan─
(a) di pejabat berdaftar Koperasi pada sepanjang masa atau di mana-mana tempat lain yang difikirkan patut oleh Lembaga menurut subseksyen 58(4) Akta; dan
(b) selama enam (6) tahun selepas diaudit menurut Peraturan.
(6) Rekod-rekod ini boleh diperiksa oleh anggota pada bila-bila masa mengikut syarat-syarat pemeriksaan yang ditetapkan oleh Lembaga.
(7) Lembaga boleh melantik mana-mana individu atau firma untuk mengemaskinikan rekod perakaunan bagi memastikan rekod tersebut dapat diaudit dalam tempoh yang ditetapkan.
(8) Suruhanjaya boleh, menurut subseksyen 58(5) Akta, dalam kes-kes tertentu memerintahkan supaya rekod- rekod perakaunan Koperasi diserahkan untuk diperiksa oleh seseorang juruaudit yang bertindak bagi pihak seseorang anggota atau pegawai.
(9) Suatu senarai terperinci butir-butir perbelanjaan Lembaga dan bayaran kepada atau bagi pihak anggota individu Lembaga dan jawatankuasa hendaklah dimasukkan dalam nota kepada akaun untung rugi Koperasi menurut Peraturan.
Resit-resit dan baucar
70. (1) Resit-resit Koperasi hendaklah dikeluarkan bagi semua wang atau penerimaan lain seperti cek dan wang pos yang diterima. Resit-resit itu hendaklah ditandatangani oleh bendahari atau pegawai yang diberi kuasa oleh Lembaga dari semasa ke semasa.
(2) Baucar hendaklah disediakan bagi setiap pembayaran yang dibuat oleh Koperasi. Baucar tersebut hendaklah ditandatangan atau diluluskan oleh bendahari atau pengurus serta disahkan oleh pegawai yang diberi kuasa oleh Lembaga dari semasa ke semasa.
Pelantikan dan kewajipan juruaudit
71. (1) Lembaga hendaklah melantik seorang juruaudit yang diluluskan oleh Suruhanjaya bagi mengaudit akaun Koperasi menurut perenggan 60(1)(a) Akta.
(2) Juruaudit yang dilantik menurut fasal (1) hendaklah dipilih oleh mesyuarat Lembaga daripada panel yang diluluskan oleh mesyuarat agung perwakilan dan mengemukakan satu (1) salinan suratcara pelantikan kepada Suruhanjaya, menurut Peraturan.
(3) Juruaudit berkewajipan untuk mengaudit akaun dan rekod Koperasi dan hendaklah memberi laporan mengenai penyata kewangan yang dikemukakan oleh Koperasi selepas berakhirnya tahun kewangan itu untuk perhatian Suruhanjaya serta anggota Koperasi, menurut seksyen 63 Akta.
Penyerahan buku dan dokumen untuk diaudit
72. Menurut Peraturan, suatu senarai buku dan dokumen Koperasi hendaklah disediakan oleh Koperasi dan diserahkan kepada juruaudit untuk ditandatangan sebagai pengakuan penerimaannya. Sesalinan senarai itu hendaklah disimpan oleh Koperasi.
Mengemukakan penyata kewangan dan laporan kepada anggota
73. Satu (1) salinan penyata berikut hendaklah disampaikan kepada tiap-tiap perwakilan tidak lewat daripada lima belas (15) hari sebelum mesyuarat agung perwakilan tahunan:
(a) akaun perdagangan;
(b) akaun untung rugi;
(c) apa-apa penyata sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya;
(d) kunci kira-kira dan laporan Lembaga mengenai kedudukan hal ehwal Koperasi dan subsidiari yang telah dikemukakan untuk mendapat pandangan Suruhanjaya, menurut subseksyen 59(2) Akta;
(e) laporan juruaudit; dan
(f) laporan Jawatankuasa Audit Dalaman.
BAHAGIAN VIII
PELBAGAI
Akaun bank
74. Akaun bank bagi Koperasi hendaklah diuruskan oleh mana-mana orang iaitu pengerusi atau setiausaha dan bendahari atau dua (2) orang pegawai lain yang diberikuasa oleh Lembaga dari semasa ke semasa.
Mohor Koperasi
75. (1) Koperasi hendaklah mempunyai satu mohor. Mohor ini tidak boleh dimeteraikan di atas mana-mana surat melainkan dengan keputusan Lembaga. Pengerusi, setiausaha dan bendahari atau pegawai-pegawai lain yang diberi kuasa oleh Lembaga dikehendaki menurunkan tandatangan mereka di atas tiap-tiap surat yang hendak dimeteraikan.
(2) Dokumen yang diperbuat atas nama Koperasi sama ada dimeteraikan atau tidak, dan ditandatangan dengan sahnya oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh Lembaga hendaklah disifatkan mengikat ke atas Koperasi sehingga sebaliknya dibuktikan.
Pertukaran alamat anggota
76. Tiap-tiap anggota hendaklah memberitahu setiausaha akan pertukaran alamatnya dalam tempoh tiga puluh (30) hari. Semua surat kepada anggota yang dihantar dengan pos atau dikirimkan kepada alamatnya yang terakhir hendaklah dianggap sebagai telah disampaikan.
Penyediaan dokumen untuk diperiksa
77. (1) Menurut seksyen 13 Akta, Koperasi hendaklah menyediakan perkara berikut yang terbuka untuk diperiksa oleh anggota Koperasi sahaja tanpa apa-apa bayaran, pada masa-masa yang munasabah di alamat berdaftar Koperasi─
(a) suatu salinan Akta dan peraturan-peraturan atau perintah, arahan atau garis panduan;
(b) suatu salinan undang-undang kecil dan akaun teraudit yang terakhir;
(c) suatu senarai anggota;
(d) suatu senarai anggota Lembaga;
(e) nama ketua pegawai eksekutif, jika ada; dan
(f) suatu senarai pegawai Koperasi yang berkenaan dengan pengurusan Koperasi, jika ada.
(2) Koperasi hendaklah juga menyediakan aturan-aturan aktiviti untuk diperiksa oleh anggota, jika ada.
Penyerahan tugas
78. Penyerahan tugas hendaklah dilakukan secara bertulis apabila berlaku pertukaran bagi apa-apa jawatan dalam Koperasi dan disempurnakan dalam tempoh tidak lewat daripada empat belas (14) hari selepas berkuatkuasanya pertukaran itu.
Laporan oleh seseorang yang dilantik mewakili Koperasi
79. (1) Seseorang yang dilantik untuk mewakili Koperasi di dalam apa-apa mesyuarat, seminar, forum atau lawatan sambil belajar atas perbelanjaan Koperasi sama ada di dalam atau di luar negeri menurut Peraturan, hendaklah mengemukakan laporan ringkas kepada mesyuarat agung perwakilan tahunan yang akan datang yang terawal diadakan bagi Koperasi.
(2) Jika orang itu gagal mengemukakan laporan, dia hendaklah membayar balik semua perbelanjaan yang telah ditanggung oleh Koperasi. Koperasi berhak mendapatkan balik setiap perbelanjaan tersebut seolah-olah ianya suatu hutang yang kena dibayar kepada Koperasi.
Pelantikan Yang Dipertua
80. Lembaga boleh melantik seorang kenamaan sebagai Yang Dipertua kepada Koperasi. Dia hanya bertindak sebagai penaung dan boleh menghadiri mana-mana mesyuarat yang diadakan oleh Koperasi tetapi tidak mempunyai hak untuk mengundi.
Pertikaian
81. (1) Segala pertikaian menurut subseksyen 82(1) Akta, yang menyentuh hal penubuhan, Undang-undang Kecil, pemilihan pegawai, perjalanan mesyuarat agung perwakilan, pengurusan atau perniagaan Koperasi hendaklah dirujuk kepada Suruhanjaya, menurut Peraturan.
(2) Mana-mana anggota yang dibuktikan telah membuat pengaduan atau merujukkan pertikaiannya kepada mana- mana orang selain daripada Suruhanjaya hendaklah dianggap telah bertindak dengan cara yang memudaratkan kepentingan Koperasi dan boleh dikenakan tindakan menurut undang-undang kecil 23.
(3) Segala pertikaian selain daripada yang dinyatakan menurut subseksyen 82(1) Akta, hendaklah dirujuk kepada mesyuarat agung perwakilan Koperasi untuk penyelesaian. Apa-apa pertikaian yang tidak dapat diselesaikan hendaklah diputuskan oleh Suruhanjaya dan keputusannya adalah muktamad.
Pemeliharaan kerahsiaan
82. Anggota Lembaga, pegawai, pekerja, juruaudit atau mana-mana orang yang mempunyai akses kepada maklumat mana-mana anggota yang diperolehi dalam melaksanakan perniagaan atau tugas dengan Koperasi, tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak boleh dizahirkan kepada mana-mana orang tanpa izin anggota melainkan yang dibenarkan oleh undang-undang bertulis.
Pembubaran
83. Koperasi hanya boleh dibubarkan dengan perintah Suruhanjaya.
Akta, Peraturan dan undang-undang kecil
84. (1) Undang-undang Kecil ini adalah dibuat menurut Peraturan dan hendaklah tertakluk kepada peruntukan Akta dan Peraturan. Apa-apa pindaan kepada Undang-undang Kecil ini tidak boleh dibuat melainkan dengan kehendak atau kebenaran Suruhanjaya. Aturan aktiviti tidak boleh dibuat melainkan dengan kelulusan mesyuarat agung perwakilan.
(2) Apa-apa urusan Koperasi hendaklah tertakluk kepada Akta, Peraturan dan Undang-undang Kecil serta aturan aktiviti dan hendaklah dibaca bersekali.
Undang-undang kecil hendaklah mengikat anggota
85. Menurut seksyen 17 Akta, Undang-Undang Kecil ini hendaklah mengikat Koperasi dan anggotanya sehingga takat yang sama seolah-olah Undang-Undang Kecil ini telah ditandatangani oleh tiap-tiap anggota dan mengandungi waad pada pihak tiap-tiap anggota bagi dirinya sendiri dan bagi penggantinya untuk mematuhi segala peruntukan Undang- Undang Kecil ini.
Diakui pindaan Undang-Undang Kecil ini telah dibentang, dibincang dan diluluskan di dalam mesyuarat agung perwakilan tahunan bertarikh dua puluh lima haribulan Julai tahun dua ribu sembilan.
………………………………. ………………………………….. …………………………………….
(ABDUL AZIZ IBRAHIM) (HJ. ZAHARUDDIN BIN ALIAS) (HJ. NURUL HUDA BIN MAT NOR)
Pengerusi Anggota Lembaga Anggota Lembaga